Pas Pulau Pinang dakwa DAP punca judi meningkat

DAP Pulau Pinang

Pemuda Pas Pulau Pinang mendakwa kegiatan perjudian yang semakin berleluasa di negeri itu berpunca daripada dasar dan pendekatan pentadbiran kerajaan DAP Pulau Pinang.

Ahmad Safuan UjarKetua Penerangan Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang Ahmad Safuan Ujar berkata, tiada beza pemerintahan DAP dengan BN yang dilihat menyokong aktiviti perjudian.

Kapitalisme yang menjadi antara tunjang pemerintahan DAP hanya mengutamakan keuntungan dan perolehan kewangan tanpa melihat kesan ke atas aspek sosial masyarakat.

"Bahkan, tidak ada bezanya DAP dengan pemerintahan BN yang juga berpaksi sedemikian.

"Dalam konteks ini, Kerajaan Persekutuan yang diterajui BN meluluskan lesen judi, Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan DAP pula adalah pihak pemberi ‘kemudahan’ lesen premis," katanya dalam kanyataan.

Menurut beliau, sikap kerajaan persekutuan dan DAP itu menyebabkan kegiatan perjudian di Pulau Pinang umpama ‘cendawan tumbuh selepas hujan’.

"Itu tidak termasuk perjudian secara tersembunyi yang berselindung di sebalik aktiviti perniagaan, di mana kegiatan ini semakin berleluasa dan taktik ini bukan lagi satu rahsia.

"Peniaga berani ‘mengambil kesempatan’ itu kerana kerajaan yang memerintah pun seperti itu. Seperti kata pepatah Cina, “Ikan busuk bermula dari kepala”.

"Jika berlaku tangkapan atau tindakan undang-undang, akhirnya hanya membawa kepada saman. Mereka terlebih mampu untuk bayar," katanya.

Tambahnya, tindakan undang-undang yang tidak ketat membolehkan kegiatan perjudian diteruskan sama ada secara haram atau memohon lesen.

"Sebab itu sebagaimana diisytihar oleh polis Pulau Pinang, kes berkaitan kegiatan perjudian semakin meningkat tahun ini melibatkan tangkapan dan rampasan. Suatu ketika, penguatkuasaan polis akan berdepan kebuntuan maksimum," katanya.

Katanya lagi, akibat pihak berkuasa membenarkan kegiatan perjudian dijalankan, banyak masalah sosial timbul termasuk kejadian jenayah melibatkan Ah Long dan kumpulan gengster.

"Gengsterisme, pinjaman Along, pergaduhan, kecurian dan seumpamanya adalah kebejatan yang akan lahir kelak. Pemerintahan DAP mungkin megah mengaut laba dari hasil kerancakan kegiatan perjudian di negeri ini, tetapi ia akan berdepan krisis di suatu masa nanti," tegasnya.

Justeru, katanya, pemerintahan DAP bukanlah demi kesejahteraan rakyat, sebaliknya mengambil kesempatan atau peluang membina kekayaan dari kerosakan sosial rakyat.

"Pas telah menunjukkan solusi sebagaimana pemerintahan Kerajaan Negeri Kelantan yang menggunakan kuasa atas premis untuk menyekat aktiviti perjudian," katanya.

 

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel