Amanah Melaka gesa cukai pelancongan tidak dilaksana

Banner Melaka bandar bersejarah

 Amanah Melaka menggesa supaya Cukai Pelancongan yang diumumkan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz tidak dilaksanakan walaupun pemimpin Umno itu mengumumkan 1 Julai ini sebagai tarikh cukai tersebut mula berkuatkuasa.

Pengerusinya, Adly Zahari berkata, pelaksanaan Cukai Pelancongan hanya menambah koleksi cukai baru kepada rakyat sekaligus menjadikan Malaysia syurga cukai walhal kerajaan perlu memberi tumpuan menutup ketirisan dan amalan rasuah yang semakin berleluasa. n.

Menurutnya, Melaka sudah hampir pasti menjadi antara negeri bakal terkesan dan berisiko dengan Cukai Pelancongan yang telah diluluskan pada April lalu melalui Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan 2017 oleh Nazri sendiri.

"Pembentangan tersebut telah mendapat undian majoriti daripada kalangan Ahli Parlimen BN. Risiko kekurangan pelancong sudah tentu akan dirasai terutamanya pengusaha hotel tempatan yang ada.

"Apabila perusahaan hotel mula merosot maka ia sekaligus akan menjejaskan peluang pekerjaan dan risiko untuk mereka ini kehilangan pekerjaan adalah tidak mustahil.

"Maka, sudah tentu melalui pengenalan cukai ini bakal melihatkan lambakan pengangguran tenaga muda," ujarnya dalam satu kenyataan.

Cukai Pelancongan menyaksikan pelanggan dikenakan bayaran sehingga RM20 bagi penginapan semalam untuk sebuah bilik hotel.

Adly berkata, pengenalan cukai itu juga berisiko melembabkan aktiviti ekonomi sekaligus menjejaskan pendapatan rakyat Melaka terutama golongan peniaga Perusahaan Kecil Sederhana (PKS).

"CIMB Research dalam laporan penyelidikannya April lalu berkata, mereka melihat cukai tersebut sebagai perkembangan yang negatif kepada sektor perhotelan dan menyebabkan ketidakadilan antara pengendali hotel.

"Apakah pihak kerajaan yang dipimpin BN tidak memikirkan nasib mereka ini hanya kerana mahu cukai ini terlaksana?

"Ini juga merupakan bebanan terbaharu kepada rakyat tempatan yang berkeinginan untuk berkunjung ke Melaka. Bayangkan selepas dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan(GST), Cukai Warisan (Caj Warisan) dan kini bakal ditambah dengan Cukai Pelancongan, sudah pasti ia cukup membebankan rakyat," tegasnya.

Untuk rekod, kerajaan negeri Melaka sepanjang tahun ini menyediakan sebanyak 159 acara berkaitan pelancongan melalui Tourism Melaka.

Setakat pertengahan Disember tahun lalu, Melaka dilapor menerima sebanyak 16.25 juta pelancong dengan lokasi seperti Melaka River Cruise menarik ratusan ribu pengunjung terutama pada cuti sekolah.

Mengulas lanjut, Adly mempersoalkan hasil kutipan cukai tersebut yang dibimbangi mengulang apa yang berlaku pada pungutan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dikuatkuasakan, 1 April 2015.

"Dianggarkan kerajaan bakal mengutip RM654.62 juta setahun dari Cukai Pelancongan ini tetapi kemana wang itu akan dibelanjakan masih kabur.

"GST boleh dijadikan contoh untuk melihat kegagalan kerajaan mengurus wang kutipan dari cukai tersebut. Kutipan GST berjumlah lebih RM41 billion setahun masih gagal dipastikan ke mana ianya dibelanjakan," tambahnya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel