NGO minta Najib roboh pusat beli belah Ampang Park selepas pilihan raya

Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) hari ini menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memohon agar cadangan merobohkan pusat beli-belah Ampang Park di ibu negara ditangguhkan sehingga selesai pilihan raya umum akan datang.

Memorandum itu diserahkan oleh Presiden Ikhlas Mohd Ridzuan Abdullah bersama kira-kira 200 penyewa lot kedai di Ampang Park kepada Pegawai Khas Perdana Menteri, Nik Mohammed Husin Nik Mohamed Ali di Bangunan Perdana Putra di sini.

“IKHLAS merayu kepada Perdana Menteri supaya perobohan Ampang Park ditangguh sehingga selepas pilihan raya umum ke-14,” demikian antara yang dinyatakan dalam memorandum itu.

Penangguhan itu juga bagi mengelakkan perkara tersebut dijadikan isu politik oleh pembangkang.

Ampang Park dibina pada 1972 dan dibuka kepada orang ramai pada 15 Mac 1973, menjadikannya kompleks beli-belah pertama di Malaysia.

Cadangan merobohkan kompleks itu bertujuan memberi laluan kepada pembinaan Projek Transit Aliran Massa (MRT).

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel