Krisis FGV: 'Heret mereka ke muka pengadilan'

Mazlan AlimanPersatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mengalu-alukan dan menyokong penuh siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kemelut Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).

Presidennya, Mazlan Aliman berkata, SPRM perlu menyiasat sejauh mana kebenaran isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa membabitkan beberapa tokoh penting Felda dan FGV serta anak-anak syarikat yang tular di media sosial.

"Jika terbukti mana-mana individu didapati ada asas kepada perilaku rasuah, heret mereka ke muka pengadilan, tanpa mengira latar belakang dan kedudukan mereka.

"Tanpa prejudis, Tan Sri Isa Samad, Pengerusi FGV paling banyak dikaitkan dengan dakwaan rasuah yang tular di media sosial," tegasnya dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan berkaitan, SPRM memberitahu Isa dan Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), FGV, Datuk Zakaria Arshad antara mungkin dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kemelut FGV.

Kedua-duanya antara lebih 50 individu yang telah dikenal pasti untuk dipanggil ekoran krisis FGV yang menyaksikan empat pengurusan kanan syarikat dipaksa bercuti berkuatkuasa serta-merta, 6 Jun lalu.

Siasatan awal FGV mendapati wujud unsur salah laku dan tidak mengikut prosedur berkaitan isu tunggakan bayaran syarikat Safitex bagi produk Delima Oil Products (DOP).

Sehubungan itu, Anak, ujar Mazlan, menegaskan kembali gesaan supaya Audit Pengurusan dan Suruhanjaya Bebas dibentuk bagi mengenal pasti punca 'kehilangan' berbilion wang Felda.

"Ia boleh membantu SPRM dan sekali gus memulihkan keyakinan masyarakat Felda terhadap Felda dan FGV. Anak mencadangkan agar tokoh-tokoh seperti bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan bekas Pengerusi Felda, Tan Raja Alias dapat dilibatkan sama.

"Anak mengharapkan pelantikan Datuk Sri Idris Jala sebagai 'orang tengah' mewakili kabinet tidak mengganggu usaha dan siasatan SPRM. Anak yakin sepertimana pepatah melayu, sepandai pandai tupai melompat, akhirnya, jatuh ke tanah jua," tegas Mazlan lagi.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel