Pas Pulau Pinang dakwa Guan Eng 'cuci tangan'

Iszuree Ibrahim

Pas Pulau Pinang membidas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang mengingatkan mereka agar rasional dan belajar mengenai pentadbiran kerajaan negeri sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Setiausaha Badan Perhubungan Pas Negeri Pulau Pinang Iszuree Ibrahim berkata, jawapan Guan Eng kepada isu perjudiaan yang disuarakan Pas menunjukkan beliau cuba 'cuci tangan' seolah-olah isu itu tiada kaitan langsung dengan kerajaan negeri.

"Apakah sinikal Guan Eng kepada Pas sebenarnya untuk menutup kesungguhan beliau 'memayungi' aktiviti yang menyumbang kepada hasil negeri di bawah tadbirnya? Beliau seakan melindungi kegusaran dari isu yang dibangkitkan itu.

"Guan Eng tidak perlu angkuh menyelar pihak lain untuk belajar mengenai pemerintahan dan pentadbiran kerajaan. Apakah penyelewengan dan skandal yang sedang meliputi pentadbirannya satu perkara untuk dibanggakan beliau?" katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Guan Eng mengulas kenyataan Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang, Ahmad Safuan Ujar yang mendakwa kegiatan perjudian yang semakin berleluasa di Pulau Pinang adalah berpunca daripada dasar dan pendekatan pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui oleh DAP.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, Pas perlu rasional apabila mengeluarkan sebarang dakwaan mengenai pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajaui DAP dan belajar mengenai urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Iszuree mendakwa Guan Eng cuba menyembunyikan perolehan mewah yang diraih dari bertambahnya kegiatan judi, sebagaimana banyaknya kegiatan itu berselindung di premis perniagaan di negeri itu.

"Kegiatan perjudian di Pulau Pinang sebenarnya menunjukkan ikatan atau persekongkolan DAP dan BN. Kerajaan DAP Pulau Pinang menyediakan premis untuk 'menyempurnakan' lesen judi yang diberi Kerajaan Persekutuan hingga kegiatan dapat dijalankan.

"Hakikatnya tidak perlu menuding jari kepada pihak polis untuk melakukan penguatkuasaan. Kerana fakta yang berlaku, tangkapan dan rampasan dibuat oleh pihak polis menunjukkan peningkatan semasa ia di bawah pentadbiran Guan Eng," katanya lagi.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel