DAP Johor minta pemimpin Umno mohon maaf isu bazar Ramadan

sheikh Omar Ali

DAP Johor menuntut dua pemimpin Umno negeri itu meminta maaf secara terbuka kerana membuat kenyataan mengelirukan mengenai bazar Ramadan di Kluang.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor Sheikh Omar Ali berkata reaksi diberikan bekas senator MCA, Gan Ping Sieu, menunjukkan tuduhan dibuat pemimpin Umno itu bersifat fitnah.

"Kenyataan Gan menjadi asas untuk meyakini Anggota Dewan Undangan Negeri Mahkota, Datuk Md Jais Sarday, dan Anggota Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim sudah berbohong," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan Razali sebagai berkata, peniaga di Bazar Ramadan Kluang marah kepada DAP kerana parti itu bertanggungjawab meminta tapak mereka ditutup suatu ketika dulu.

Justeru, kata timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, peniaga terbabit tidak dapat menerima kedatangan Anggota Parlimen Kluang dari DAP, Liew Chin Tong, serta rombongannya ke situ.

BH Online pula memetik Md Jais sebagai berkata, DAP memulakan isu itu pada 2007 dan parti terbabit menggesa bazar berkenaan dipindahkan ke tempat lain.

Md Jais yang juga setiausaha perhubungan Umno Johor berkata "tindakan DAP" itu mencetuskan kemarahan dan tentangan daripada peniaga Melayu yang masih ingat kejadian itu hingga kini.

Bagaimanapun, Chin Tong kemudian mendakwa DAP tidak terbabit dalam desakan memindahkan tapak bazar berkenaan, sebaliknya ia dibuat oleh pemimpin MCA.

Gan yang juga bekas naib presiden MCA dan pernah menjadi timbalan menteri belia dan sukan berkata, Chin Tong cuba mengheret parti berkenaan dalam permainan politik DAP.

Sheikh Omar berkata, orang ramai kini boleh mempertikaikan kredibiliti Razali dan Md Jais sebagai pemimpin politik dan masyarakat.

"Pemimpin yang sanggup berbohong dan memfitnah tidak wajar sama sekali memegang amanah kepimpinan. Lebih baik mereka letak jawatan sahaja," katanya.

Razali, Md Jais, bertaubatlah 

Sementara itu, tuntutan sama dibuat bendahari DAP Johor George Poh Eng Guan ke atas Razali dan Md Jais.

Beliau menasihati Razali dan Md Jais agar insaf dan bertaubat daripada terus menabur fitnah dan benih kebencian kaum.

"Saya ingin meminta agar YB Jais Sarday dan YB Razali Ibrahim berhenti menfitnah dan meminta maaf atas segala tuduhan yang tidak berasas terhadap DAP dan ahli Parlimen Kluang," katanya.

Beliau sekali gus menafikan pernah berbangkit apa-apa isu untuk memindahkan lokasi bazar Ramadan di mana jua daerah di negeri Johor termasuklah di kawasan Kluang.

Pengesahan katanya, telah pun sudah dibuat oleh Gan Ping Sieu bahawa MCA yang membuat permohonan tersebut pada 2007.

"Saya dilahir dan dibesarkan di Batu Pahat, Saya sering menunggu tibanya bulan Ramadan agar dapat melawat bazar untuk menikmati juadah dan kuih mueh tradisional, yang biasanya tidak dapat kita nikmati pada hari-hari biasa.

"Saya berada dalam pimpinan jawatankuasa DAP Johor sepanjang empat tahun ini, tidak pernah sama sekali berbangkit apa-apa isu untuk memindahkan lokasi bazar Ramadan dimana jua daerah di negeri Johor termasuklah di kawasan Kluang," katanya.

Beliau turut mengingatkan mereka mengenai titah Sultan Johor dan Tengku Mahkota Johor yang menasihati serta menegur pihak-pihak yang cuba memecah-belahkan rakyat Malaysia Khususnya Bangsa Johor.

 

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel