Amanah gesa kerajaan rombak modul BTN bersifat perkauman

Salahuddin Ayub

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub menggesa kerajaan merombak dan mengkaji semula modul-modul yang digunakan oleh Biro Tata Negara (BTN) yang disifatkan sebagai perkauman.

Beliau mendakwa, ancaman keganasan dan kebencian kaum dan agama pada hari ini berpunca daripada BTN yang menanam benih kebencian antara kaum ke dalam pemikiran rakyat.

"Sekiranya pada jangka panjang Malaysia tidak mahu terlibat dalam keganasan atau menjadi destinasi pengganas, BTN mesti menghentikan segala modul yang sangat tidak bertanggungjawab menyemai kebencian kaum dan agama dalam negara kita khususnya pada saat-saat getir menjelang pilihan raya.

"Hari ini juga tidak dapat dinafikan ada rakyat Malaysia jadi militan di negara lain," katanya pada sidang media di Wisma Amanah Negara hari ini.

Beliau juga meminta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi agar tidak berpura-pura tidak mengetahui bahawa BTN antara institusi besar yang menyumbang kepada sikap perkauman.

"Datuk Seri Zahid sendiri mesti memahami dan jangan berpura-pura tidak mengetahui bahawa antara institusi besar yang menyemai, mengambil peranan sekian lama menyemai bibit kebencian antara kaum dan agama ini adalah BTN itu sendiri melalui kursus-kursus yang mereka panggil kepada kelompok pelajar, pegawai-pegawai kerajaan yang sengaja adakan untuk kepentingan parti tertentu," katanya mengulas ucapan Zahid akhir-akhir ini yang meminta rakyat supaya tidak terjebak denan aktivii keganasan.

Menurut beliau juga, pendekatan bahawa sesuatu kaum, puak, kumpulan, parti politik lebih mulia daripada yang lain anatara perkara yang berperanan menyemai kebencian di negara ini.

"Kita mahu negara maju ke hadapan. Semua agama dan kaum hidup dan menikmati negara yang sebenarnya bukan terjebak dalam isu kaum dan agama ini.

"Enam dekad kita merdeka kenapa masih ada lagi isu-isu perkauman, isu-isu agama yang masih boleh lagi digunakan pada saat-saat kritikal seperti ini," katanya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel