Mohon maaf tidak cukup, Celcom dituntut bayar ganti rugi pengguna

Shazni Munir Mohd Ithnin


Pemuda Amanah Nasional mendesak Celcom membayar ganti rugi kerana mendakwa syarikat telekomunikasi itu perlu mengambil tanggungjawab penuh ke atas kerugian pelanggannya ekoran gangguan teknikal yang berlaku semalam.

Naib Ketua Pemudanya Mohd Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, Pemuda Amanah berpandangan Celcom tidak mengambil sikap responsif menangani rungutan pelanggan yang terjejas.

"Demi memenuhi tanggungjawab sosial, Pemuda AMANAH menuntut agar Celcom membayar ganti rugi dalam bentuk data internet tambahan (minimum) sebanyak 3GB serta talian dan SMS percuma ke semua rangkaian telco selama sehari.

"Bagi pengguna postpaid, rebat sebanyak 10% harus diberikan untuk bil bulan ini, selari dengan sikap Celcom sendiri yang cukup berkira sekiranya pengguna lambat menjelaskan bayaran bulanan.

"Seluruh cadangan ini kami ambil langsung daripada respon di twitter yang menerima jawapan acuh tidak acuh daripada Celcom," ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Celcom Malaysia memohon maaf kepada semua pelanggannya ekoran satu gangguan teknikal sejak jam 7 pagi hingga 9.30 pagi itu menjejaskan layaran internet serta panggilan masuk dan keluar negara.

Gangguan itu menurut Celcom, adalah hasil daripada naik taraf rangkaian bermasalah dan mengemukakan permohonan maaf di laman facebook rasmi.

Mohd Shazni Munir berkata, sebagai sebuah syarikat telekomunikasi besar, mengambil tanggungjawab penuh atas kerugian ini.

"Lebih penting, usah lagi selesa berlindung di balik 'permohonan maaf'.

"Ini kerana kegagalan fungsi talian dan internet Celcom wajar diambil pertimbangan serius. Malah di sesetengah lokasi, gangguan berlaku lebih lama hingga menyebabkan para pengguna menanggung kerugian dalam tempoh tersebut.

" Lebih menyedihkan, gangguan berlaku ketika waktu puncak dan syarikat berkenaan hanya melampirkan seperenggan permohonan maaf, tanpa sebarang komitmen ganti rugi," ujarnya.

Beliau dalam kenyataannya juga berkata, semakan yang dibuat di twitter rasmi Celcom mendapati hingga jam 12.40 pagi hari ini, seramai 2,217 orang telah 'retweet' dan 127 orang telah 'reply' permohonan maaf yang dilampirkan.

Sekitar 3,400 individu yang komen di facebook. Ribuan 'share' dan 'emoticon' pula, dakwanya lagi, menggambarkan perasaan tidak puas hati pengguna.

"Malangnya, jawapan yang diberikan Celcom sekadar melepaskan batuk di tangga. Menggunakan 'autoreply' mungkin." ujarnya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel