Sanggup berbohong untuk lindungi samseng bazar Ramadan

Sheikh Omar Ali

Dua pemimpin Umno yang mempertahankan tindakan samseng sekumpulan lelaki mengasari dan mengherdik ahli parlimen Kluang, Liew Chin Tong di bazar Ramadan dekat sini tempoh hari digesa memohon maaf kerana berbohong.

Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim dan Adun Mahkota, Datuk Md Jais Sarday seperti dilaporkan media mendakwa kononnya DAP meminta agar bazar di mana insiden berkenaan berlaku dipindahkan ke kawasan lain pada 2007 sehingga membangkitkan kemarahan peniaga.

Bagaimanapun, Chin Tong dalam kenyataan balasnya menafikan dakwaan itu malah sebaliknya yakin parti komponen BN iaitu MCA sebagai dalang di sebalik cadangan perpindahan tersebut.

Beliau yang juga pengarah pendidikan politik DAP kebangsaan berkata, tidak mungkin DAP boleh mencadangkan pemindahan tersebut memandangkan parti itu tidak mempunyai kerusi di daerah berkenaan sebelum pilihan raya umum 2008.

Pengerusi MCA Kluang yang juga mantan Adun Mengkibol Gan Ping Sieu mengesahkan pernah menyuarakan kebimbangan peniaga mengenai lokasi bazar tersebut dan mencari alternatif lain pada 2007.

Penolong Setiausaha DAP Johor, Sheikh Omar Ali berkata, kenyataan Ping Sieu itu sekaligus membuktikan bahawa Jais dan Razali berbohong.
 
“Perkara ini sangat mendukacitakan. Saya ingin bertanya kepada Jais dan Razali; di manakah letaknya kredibiliti anda sebagai seorang pemimpin politik dan masyarakat? Anda sanggup memfitnah, menyebarkan pembohongan. Di mana maruah anda?

“Pemimpin yang sanggup berbohong dan memfitnah tidak wajar sama sekali memegang amanah kepimpinan. Lebih baik mereka letak jawatan sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga pembantu khas Chin Tong justeru menggesa Jais dan Razali memohon maaf secara terbuka ekoran fitnah yang dilemparkan terhadap DAP.

Dalam insiden sekitar jam 6.45 petang Sabtu lepas, sekumpulan lelaki bertindak samseng menghalau dan memaki hamun rombongan Pakatan Harapan yang mengedarkan kurma kepada pengunjung dan peniaga bazar.

Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong turut dikasari kumpulan tersebut sehingga kaca matanya terjatuh.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel