Jho Low beli loket berlian dan rantai leher isteri MO1 guna dana 1MDB

Jho Low

Sejumlah USD27 juta dibelanjakan ahli perniagaan kontroversi Jho Low untuk membeli loket berlian merah jambu 22 karat dan rantai leher untuk isteri 'Malaysian Official No.1' (MO1), kata Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).

Barang kemas itu adalah sebahagian daripada aset bernilai USD540 juta (RM2.3 bilion) yang didakwa bersumberkan dana yang diselewengkan daripada syarikat pelaburan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ini menjadikan jumlah yang terlibat kepada USD4.5 bilion.

Tindakan memfailkan saman sivil ketiga dan terbaharu bagi pelucutan hak oleh DoJ itu turut membabitkan kapal layar Equanimity bernilai USD165 juta (RM704 juta) dimiliki Jho Low, dan hak filem komedi "Dumb and Dumber To" dihasilkan Red Granite, syarikat penerbitan dimiliki bersama oleh Riza Aziz, anak tiri Perdana Menteri Najib Razak.

Pemangku Penolong Peguam Negara AS, Kenneth Blanco dalam satu kenyataan berkata, wang berbilion dolar itu adalah bagi membiayai gaya hidup mewah konspirator bersama yang merugikan rakyat Malaysia.

Dalam dokumen mahkamah yang difailkan semalam di Los Angeles, pendakwa persekutuan berkata  pada 2014, ahli perniagaan Malaysia Jho Low mencuri USD850 juta dana yang dipinjam daripada sindiket bank, kononnya bertujuan membayar semula bon yang diterbitkan 1MDB.

Bagaimanapun, wang itu dibelanjakan untuk membeli kapal layar Equanimity.

Konspirator juga, dakwa DoJ membeli USD3.2 juta karya Picasso dan USD9.2 juta Basquiat.

Jho Low menafikan salah laku itu.

Tahun lepas, DoJ mengemukakan saman sivil untuk merampas aset bernilai USD1 bilion yang dimiliki Jho Low.

Dalam perkembangan berkaitan, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali kecewa kerana tidak dimaklumkan DoJ berhubung tindakan terbaru tersebut dan menegaskan siasatan yang dibuat badan penguatkuasa Malaysia mendapati tiada bukti berlakunya penyelewengan dana 1MDB.

Apandi turut kesal kerana perdana menteri Datuk Seri Najib Razak disindir kerana didakwa terlibat dalam salah laku jenayah berdasarkan individu yang dinamakan sebagai MO1 dalam laporan DoJ.

1MDB yang lahir daripada inisiatif Najib pada tahun pertama beliau memegang jawatan (2009) kini dibelenggu RM42 bilion hutang selepas mencatatkan keuntungan RM425 juta pada tahun pertama operasinya, antara September 2009 dan Mac 2010.

Pada 2015, Wall Street Journal melaporkan berbilion ringgit masuk ke dalam akaun bank perdana menteri, yang kemudiannya dibersihkan daripada segala salah laku oleh pihak peguam negara.

Bagaimanapun, pendedahan itu menyebabkan siasatan antarabangsa dilancarkan terhadap 1MDB bersama beberapa negara seperti Switzerland dan Singapura berkaitan skandal tersebut.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel