Lebih RM160 juta digunakan JASA sebar dakyah BN

Liew Chin Tong

Salah guna dana awam bagi membantu kempen politik Umno-BN jelas tidak bertanggungjawab apatah lagi jika diperalatkan untuk menyebar dakyah dan berita palsu.

Ahli parlimen Kluang Liew Chin Tong menyentuh tindakan Umno/BN yang mempergunakan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) sebagai alat menyebarkan propaganda dan dakyah mereka.

Chin Tong menempelak JASA kerana mengulangi dakwaan palsu pemimpin Umno Johor Jais Sarday berkenaan insiden samseng bazar Ramadan Kluang yang kononnya berlaku kerana DAP pernah meminta tapak bazar itu dipindahkan pada 2007.

Dakwaan JASA itu disebarkan di media sosial.

Menurut pengarah pendidikan politik DAP kebangsaan itu, dalang sebenar pemindahan bazar Ramadan itu adalah MCA dan diakui sendiri bekas Adun MCA Mengkibol, Gan Peng Giew.

"Umno gunakan jentera propaganda kerajaan itu untuk mudahkan tohmahan palsu dan melakukan pendustaan terhadap pesaing politiknya.

"Jabatan seperti itu (JASA) wajar dimansuhkan bagi mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu, supaya kerajaan boleh berbelanja untuk perkara yang memanfaatkan rakyat kebanyakan, termasuk pendidikan, penjagaan kesihatan dan pengangkutan awam.

"Saya menyeru Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak mengarahkan JASA yang terletak di bawah bidang kuasa kementeriannya supaya menghentikan penyebaran berita palsu sebagai alat pendakwaan politik," katanya lagi.

Chin Tong menambah, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak hampir RM160 juta dari tahun 2011 hingga 2017 kepada agensi tersebut.

“Malang sekali jutaan ringgit wang negara digunakan untuk menyebarkan dakyah dan berita palsu,” kata Ahli Parlimen Kluang itu dalam kenyataan hari ini.

Disebalik keghairahan BN memperuntukan puluhan juta ringgit setahun kepada JASA, kerajaan bertindak mengurangkan peruntukan untuk sektor berkepentingan rakyat seperti pendidikan dan penjagaan kesihatan.


Berikut disenaraikan peruntukan tahunan yang diberi untuk membiayai JASA:

2011 – RM 21,759,400

2012 – RM 21,392,000

2013 – RM 23,127,100

2014 – RM 24,572,800

2015 – RM 21,718,100

2016 – RM 22,801,000

2017 – RM 22,886,500

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel