Mahkamah putuskan Dr Ting Tiong Choon kekal Adun Pujut

Dr Ting Tiong Choon

Mahkamah Tinggi Kuching hari ini memutuskan penyingkiran Ahli Dewan Undangan Negeri Pujut, Dr Ting Tiong Choon daripada Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 12 Mei lalu sebagai tidak sah.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuching, Datuk Douglas Christo Primus Sikayun berkata, Tiong Choon perlu meneruskan semula tugasnya sebagai Adun dan kekosongan kerusi tidak berlaku.

Dalam penghakimannya, Douglas berkata, tindakan Speaker Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar tersebut adalah melampaui bidang kuasanya.

Douglas turut mengarahkan dua defendan; Asfia dan Menteri Perdagangan Antarabangsa Kedua dan E-dagang serta Menteri Kewangan Kedua membayar kos guaman sebanyak RM100 ribu masing-masing.

Douglas menetapkan hari ini untuk keputusan selepas pasukan guaman kedua-dua pihak selesai membentangkan hujah masing-masing semalam.

Keputusan untuk mempercepat tarikh ini juga dipengaruhi oleh tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Pujut yang ditetapkan pada 4 Julai depan, manakala proses penamaan calon berlangsung 20 Jun sebelum ini.

DAP Sarawak semalam membuat keputusan untuk tidak mengumumkan calonnya bagi PRK Dun Pujut kerana menunggu keputusan Mahkamah Tinggi Kuching berhubung perkara itu,

Tiong Choon memfailkan saman pemula di Pejabat Pendaftar MahkamahTinggi Kuching pada 7 Jun bagi mencabar pemecatannya oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Pada 12 Mei, Dr Ting dilucut kelayakan sebagai Adun Pujut selepas satu usul dibentangkan di Dewan Undangan Negeri bagi melucut kelayakan beliau kerana didakwa mendapat taraf warganegara Australia pada 2012.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel