JKN Melaka keluar 30 kompaun kepada peniaga bazar Ramadan

bazar ramadan

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka telah mengeluarkan 30 kompaun pelbagai kesalahan sepanjang Op Ramadan yang bermula pada hari pertama puasa sehingga kini.

Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Ghazali Othman berkata kompaun itu dikeluarkan atas pelbagai kesalahan terhadap peniaga bazar Ramadan yang gagal mematuhi Akta Makanan 1983, Peraturan-peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.

"Kita menjalankan operasi sepanjang Ramadan bagi memastikan makanan yang disediakan adalah bersih dan selamat sebagai inisiatif mengelakkan isu pencemaran dan keracunan makanan daripada berlaku.

"Setakat ini, sebanyak 46 tapak bazar Ramadan membabitkan 1,769 premis makanan telah diperiksa termasuk 34 restoran dan hotel yang turut menawarkan bufet Ramadan serta 15 premis pembekal bahan mentah dan enam kilang ais," katanya kepada pemberita selepas melaksanakan Op Ramadan di bazar Ramadan Masjid Tanah malam tadi.

Katanya secara keseluruhan, tahap kebersihan bazar Ramadan yang beroperasi di negeri itu berada pada tahap yang memuaskan kerana hanya satu kilang ais yang beroperasi di Melaka Tengah telah diarahkan tutup selama 14 hari kerana tidak memenuhi standard kebersihan yang ditetapkan.

Beliau menyeru kepada semua pengendali makanan agar sentiasa mengutamakan kebersihan dan keselamatan makanan ketika menjual juadah berbuka puasa kepada orang ramai.

"Masyarakat juga dinasihatkan agar bijak membuat pilihan premis ataupun gerai makanan yang memenuhi piawaian dan mematuhi peraturan yang ditetapkan," katanya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel