Anwar tak tawar diri jadi calon PM, gesa PH tumpu PRU

Anwar Ibrahim

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beliau tidak akan menawarkan diri sebagai calon untuk jawatan perdana menteri.

Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) sewajarnya memberi tumpuan kepada pilihan raya umum, bukannya bertelingkah mengenai siapa yang akan menjadi perdana menteri jika pakatan pembangkang menang.

"Dan terkait dengan gesaan untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pilihan raya umum (PRU), maka saya memilih untuk tidak menawarkan diri selaku calon Perdana Menteri.

"Pergeseran sedemikian melelahkan kerana keputusan adalah di tangan rakyat dalam PRU. Adalah diharapkan agar segala tenaga dan ikhtiar kita tertumpu nada pengukuhan jentera dan menarik dukungan rakyat," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, dengan hasrat merangkul semua kekuatan dalam satu pasukan mantap menentang Umno-BN, adalah dirasakan wajar memastikan penyertaan semua pimpinan secara berkesan.

"Ini termasuk memanfaatkan kedudukan dan peranan Tun Mahathir (Mohamad). Agak kurang bijak untuk membuat sebarang andaian sebelum semua pimpinan parti menyatakan sikap dan usul tersebut dimuktamadkan.

"Keutamaan dasar menjurus kepada kebajikan rakyat dengan menolak kerakusan kuasa dan rasuah," jelasnya.

Justeru, katanya, PH perlu mengekalkan tradisi musyawwarah dan konsensus seperti mana pengalaman Pakatan Rakyat sebelumnya.

"Pakatan Harapan perlu mengekalkan tradisi musyawwarah dan konsensus seperti mana pengalaman Pakatan Rakyat sebelumnya.

"Semua ketua parti mempunyai kedudukan yang sama, dengan pengerusi hanya sebagai penyelaras. Segala persiapan/agenda mesyuarat dikendali oleh Sekretariat Bersama mewakili semua parti.

Bagaimanapun, usul Bersatu untuk merombak struktur PH dengan pimpinan utama parti tersebut menguasai jawatan pengerusi dan presiden dikhuatiri akan merombak kerangka pakatan itu menjadikannya mirip BN, katanya.

Beliau berkata, kesediaan semua parti untuk meneliti semula dan meminda cadangan tersebut dengan mengekalkan muafakat asal pakatan tersebut adalah dialukan.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel