Isu rumah generasi baharu Felda di Hulu Selangor cetus tanda tanya

Syafiq Musa

Pembinaan projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) di Hulu Selangor didakwa masih berdepan masalah untuk disiapkan.

Generasi ketiga peneroka Felda Gedangsa, Syafiq Musa memberitahu masalah tersebut berlarutan sehingga hari ini sejak pentadbiran bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim lagi.

Beliau ketika ditemui Malaysia Dateline di kediamannya baru-baru ini berkata, isu berkenaan dapat dilihat pada apa yang berlaku di Felda Sungai Tengi Selatan.

"Sampai sekarang tidak selesai. Tanah sudah ada, Menteri Besar sejak zaman Khalid Ibrahim sampai sekarang, tanah itu masih belum dibangunkan.

"YB Zaidy Abdul Talib (Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani) pun kata sebelum ini projek sudah mula.

"Tapi bila kita pergi tengok, tapak itu masih semak-samun. Anak-anak peneroka tertunggu-tunggu. Bila mahu mula? Hal ini sudah lama berlarutan entah bila lagi mahu bertukar menteri besar," keluhnya.

Terdapat empat tanah rancangan Felda di Hulu Selangor yang menyaksikan keperluan mendesak rumah generasi baharu

Terdapat empat tanah rancangan Felda di Hulu Selangor yang menyaksikan keperluan mendesak rumah generasi baharu.

Projek PGBF yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2012 menyasarkan pembinaan 20,000 rumah pada harga berpatutan untuk generasi kedua Felda.

Semasa mula diumumkan, Felda berhasrat mahu menjual rumah berkenaan pada harga antara RM70,000 hingga RM90,000 seunit.

Mengulas lanjut, Syafiq berkata, status tanah untuk pembinaan rumah generasi baharu peneroka itu difahamkan bukan lagi di bawah Felda.

"Tanah itu memang di bawah kerajaan negeri. Anak-anak peneroka buntu apa sebenarnya halangan di pihak kerajaan negeri. Kami juga pernah mencadangkan harga rumah sekitar RM50,000 dalam satu sesi dialog sebelum ini.

"Apa yang kami mahu pada tahap asas anak peneroka ada rumah yang selesa. Kalau untuk tambah, cantikkan rumah, itu nombor dua. Sedihnya, apa yang berlaku sekarang lebih kepada hendak menjual rumah," luahnya.

Beliau juga menyarankan kerajaan negeri melakukan penyelarasan daripada segi pembiayaan pinjaman rumah memandangkan majoriti anak peneroka tiada slip gaji.

"Bila isu-isu ini tidak selesai, kaedah pembayaran pinjaman jadi masalah. Sepatutnya kerajaan negeri sudah buat polisi berkaitan tapi sekarang belum ada lagi.

"Hari ini siapa yang mahu rumah, isi sahaja borang. Kami tidak mahu kes PPR Taman Danau berulang sehingga berlaku tindakan saman menyaman," katanya.

Pada masa sama, Timbalan Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Cawangan Gedangsa itu menegaskan agihan rumah generasi kedua perlu dilakukan secara telus bukannya hanya dikaut kroni.

"Kami mahu anak peneroka yang menetap dalam empat rancangan Felda yang berkeluarga diutamakan. Kita tidak mahu kerana dia baik dengan ahli majlis, ketua kampung maka dia dapat rumah itu," tegasnya.

Selain Felda Gedangsa dan Sungai Tengi Selatan, dua lagi tanah rancangan di Hulu Selangor adalah Felda Sungai Tengi dan Soeharto.

Sehubungan itu, Syafiq mewakili waris peneroka berharap Felda pada masa akan datang tidak sekadar tinggal nama.

"Kami tidak mahu berputih mata melihat Felda tergadai akibat pelbagai bentuk penyelewengan di peringkat atasan seperti yang berlaku pada masa ini," tegasnya lagi.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel