PINTA gesa tindakan susulan bersih nama baik Tahfiz

Thaqif

Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (PINTA) memohon agar polis dan pendakwa raya mengambil inisiatif sewajarnya susulan perkembangan dan dapatan terakhir dalam kes kematian pelajar tahfiz Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi.

Presiden PINTA Mohd Zahid Mahmood berkata langkah itu bagi memastikan segala tuduhan dan persepsi negatif yang ditanggung pihak madrasah dan pembantu warden yang dituduh mendera pelajar itu selama ini, dapat diperbetulkan dengan sebaiknya.

"Dalam pada masa sama, PINTA menyeru agar komuniti madrasah tahfiz terus berusaha menjadikan pusat pendidikan tahfiz masing-masing sebagai wadah terbaik bagi menjana agamawan serta daya sumber insani kamil.

"Langkah itu bersesuaian dengan falsafah Islam serta Dasar Pendidikan Tahfiz Negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semalam, yang menyatakan bahawa kematian Mohamad Thaqif Amin, 11, April lepas disahkan berpunca daripada penyakit kencing tikus atau leptospirosis dan bukannya kerana trauma atau kecederaan dialami.

Pelajar terbabit meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, pada 26 April sebelum sempat menjalani pembedahan memotong tangan kanannya, yang dijangkiti bakteria selepas cedera dipercayai didera pembantu warden.

Sebelum itu, kedua-dua kaki pelajar itu dipotong akibat jangkitan sama.

Ibu Thaqif, Felda Wani Ahmad bagaimanapun mempersoal pihak hospital keperluan memotong kaki anaknya jika betul Thaqif dijangkiti kencing tikus yang boleh dikesan sejak awal.

“Saya nak tanya kenapa nak potong kaki anak saya kalau kencing tikus. Kencing tikus mesti kesan awal. Paling lewat 1 atau 2 minggu, macam kes di Kelantan baru-baru ini.

“Saya ni cikgu, tidak payah manipulasi yang bukan-bukan. Saya memang terkilan. Daripada arwah (Thaqif) masuk hospital, doktor kata tak tahu kuman apa. Ini tiba-tiba beritahu kencing tikus, tak masuk akal. Saya tidak boleh terima,” katanya seperti dilapor media.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel