Pelantikan hakim tambahan ikut perlembagaan, kata Azalina

Azalina Othman

Pelantikan Tan Sri Md Raus Sharif dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai Hakim Tambahan bagi Mahkamah Persekutuan adalah mengikut Perlembagaan Persekutuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau menjelaskan pelantikan itu adalah selaras dengan Fasal (1A) Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan pelantikan Hakim Tambahan bagi Mahkamah Persekutuan adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong atas sembah nasihat Ketua Hakim Negara pada sesuatu masa.

Dalam hal ini, menurutnya, sembah nasihat terhadap pelantikan Md Raus dan Zulkefli dibuat oleh Tun Arifin Zakaria kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Mac lalu, iaitu ketika beliau masih menyandang jawatan sebagai Ketua Hakim Negara.

"Perlembagaan Persekutuan juga tidak menghalang untuk mana-mana Hakim Tambahan bagi Mahkamah Persekutuan yang dilantik untuk terus menyandang sesuatu jawatan," ┬Łkatanya dalam satu kenyataan yang diedarkan pada perhimpunan bulanan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang JPM, di Putrajaya hari ini.

Azalina juga menegaskan bahawa pelantikan Hakim Tambahan bagi Mahkamah Persekutuan bukan perkara baharu.

Ini kerana amalan sama pernah dibuat pada tahun lepas di mana bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Seri Jeffrey Tan Kok Hwa dilantik semula bagi tempoh dua tahun, manakala pada 1965, bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Seri S Chelvasingam Maclntytre dilantik semula sebagai Hakim Tambahan bagi Mahkamah Persekutuan.

Sehubungan itu, Azalina berharap semua pihak berhenti mempolemikkan isu itu dan membenarkan mereka untuk terus memartabatkan badan kehakiman negara.

"Saya juga berpendapat kepakaran dan pengalaman yang dimiliki oleh mereka amat diperlukan oleh badan kehakiman negara," katanya.

Azalina juga mahu semua pihak menghormati pelantikan kedua-dua Hakim Tambahan itu yang telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, mana-mana pihak yang berpendapat pelantikan Ketua Hakim Negara adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan boleh membawa perkara itu ke mahkamah mengikut undang-undang sedia ada.

Pejabat Perdana Menteri pada 7 Julai lepas memaklumkan Md Raus akan menyandang jawatan Ketua Hakim Negara bagi tempoh tiga tahun bermula 4 Ogos ini selepas dilantik sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan mulai tarikh dan bagi tempoh yang sama.

Ia juga menyatakan Zulkefli, yang dilantik sebagai Hakim Tambahan bagi Mahkamah Persekutuan untuk tempoh dua tahun mulai 28 September ini, pula memegang jawatan Presiden Mahkamah Rayuan bermula tarikh dan bagi tempoh yang sama.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel