Kelemahan agamawan urus institusi pondok, tahfiz masyarakat diminta tidak prejudis

Masyarakat di negara ini diminta tidak bersikap prejudis terhadap golongan agamawan yang menguruskan institusi pondok dan tahfiz kerana kelemahan mereka dari segi pengurusan secara profesional, kata Pengerusi Pondok Perdana Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid.

Beliau berpendapat sikap prejudis masyarakat terhadap sekolah pondok dan tahfiz itu jelas dalam kes membabitkan kematian Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi pada April lalu.

"Bila sahaja berlaku kes kematian  membabitkan Allahyarham Mohd Thaqif riuh dimedia sosial ramai yang menyalahkan pihak sekolah tahfiz berkenaan yang dianggap melakukan penderaan terhadap pelajar mereka. Sedangkan ia masih lagi belum dibuktikan dari segi keputusan perubatan dan siasatan polis.

"Bila sudah ada kenyataan daripada Kementerian Kesihatan punca kematian pelajar tahfiz berkenaan, masih ada lagi tular di laman sosial yang tidak dapat menerima keputusan kementerian kesihatan itu pula.

"Seolah-olah masih ada dikalangan masyarakat  meletakkan kesalahan di pihak pentadbiran sekolah kerana mempertikai keputusan kementerian kesihatan," ujarnya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Mahmood Zuhdi yang juga Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN) tidak menafikan kesedaran dan kepekaan masyarakat terhadap isu-isu membabitkan sekolah pondok dan tahfiz di negara ini begitu tinggi, susulan  kematian pelajar dari Madrasah Tahfiz Al-Jauhar (MTAJ),Kota Tinggi itu,walaupun ia bukan kes pertama membabitkan kematian pelajar pondok dan tahfiz di negara ini.

" Mengikut laporan kementerian kesihatan yang dikeluarkan disebabkan virus kencing tikus.

"Tetapi sewajarnya disiasat dari mana datangnya virus itu sama ada pelajar itu mendapat virus berkenaan di luar kawasan atau di dalam kawasan sekolah tahfiz amat  perlu dilakukan siasatan selanjutnya," ujarnya yang mahu pihak berwajib terus menjalankan siasatan agar punca kejadian itu dapat disahkan bagi mengelakkan tanggapan negatif terhadap pengurusan sekolah pondok dan tahfiz di negara ini.

Mahmood Zuhdi berkata, kerajaan negeri dan kerajaan pusat harus mengambil perhatian serius terhadap sekolah tahfiz dan pondok dalam pelbagai aspek sebagaimana perhatian yang diberikan kepada sekolah venakular di negara ini.

Tambahnya lagi, sekolah pondok dan tahfiz menjadi alternatif kepada sebahagian keluarga Islam sebagai jalan keluar untuk mengatasi kelemahan akademik atau moral anak-anak mereka dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Ini kerana  sebahagian remaja yang menghadapi masalah akhlak dan akademik yang lemah pencapaiannya akan dihantar kepada pondok dan tahfiz.

"Apa yang menjadi masalah ialah ke mana hala tuju pondok dan tahfiz ini?

"Jika golongan agama yang mengusahakan pondok dan tahfiz ini asyik dipertikaikan masyarakat  sedangkan pengusaha terpaksa memilih jalan mereka sendiri untuk menguruskan pondok dan tahfiz dalam serba kekurangan.

"Pengusaha pondok dan tahfiz mempunyai banyak kekangan dari segi kewangan, pengalaman mengurus institusi dan sebagainya, tetapi mereka mempunyai semangat juang yang tinggi untuk meneruskan penubuhan pondok dan tahfiz demi anak bangsa dan agama Islam.

"Ini kerana ada tiga jenis sekolah yang sangat mundur di negara kita iaitu sekolah orang asli, sekolah tamil dan sekolah agama. Tiga kumpulan sekolah ini perlu diberikan perhatian.

"Sepatutnya semua jabatan yang ada hubungkait secara langsung dengan institusi pendidikan negara tidak terlepas pandang dan juga perlu diberikan perhatian oleh kerajaan negeri dan pusat.

"Kerajaan pusat mempunyai dana yang besar manakala kementerian pelajaran dan kementerian kesihatan perlu bekerjasama untuk memantau perjalanan sekolah pondok dan tahfiz di seluruh negeri dengan kerjasama kerajaan negeri dan Jabatan/ Majlis Agama Islam Negeri.

"Supaya institusi ini berterusan dapat ditingkatkan dari segi infrastrukturnya dan pengurusannya agar lebih tersusun dan profesional agar kejadian yang tidak diingini berulang semula," ujarnya.

Semalam Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dipetik berkata, bahawa kematian Mohamad Thaqif Amin, 11, disahkan berpunca daripada penyakit kencing tikus atau leptospirosis dan bukannya kerana trauma atau kecederaan dialami.

Bagaimanapun keputusan itu dipersoalkan oleh ibu Mohd Thaqif, Felda Wani Ahmad, 40, yang  mempertikaikan tindakan pihak hospital memotong kedua-dua kaki anaknya pada 21 April lalu, jika benar anaknya dijangkiti kencing tikus, serta terkilan kerana kementerian kesihatan tidak memaklumkan awal keputusan bedah siasatan dijalankan itu sebaliknya  dakwanya lagi, mendapat maklum daripada seorang wartawan.

Manakala Pengamal undang-undang, Syahredzan Johan dalam kenyataan di facebooknya pula dipetik menganggap "mungkin ya, mungkin tidak" kematian Allahyarham Mohamad Thaqif berpunca akibat kencing tikus.

Dalam perkembangan sama juga hari ini Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (Pinta) Mohd Zahid Mahmood menyeru agar polis dan pendakwa raya mengambil inisiatif sewajarnya susulan perkembangan dan dapatan terakhir dalam kes kematian Allahyarham Mohamad Thaqif Amin.

Langkah itu bagi memastikan segala tuduhan dan persepsi negatif yang ditanggung pihak madrasah dan pembantu warden yang dituduh mendera pelajar itu selama ini, dapat diperbetulkan dengan sebaiknya. 

Pembantu warden masih lagi digantung tugasnya sejak 21 April lalu oleh pihak madrasah berkenaan. Pengetua madrasah itu Mohammad Afdhaluddin Ismail dipetik berkata,pihaknya tidak tahu mengenai rekod jenayah lampau pembantu warden itu yang pada mulanya diambil sebagai penyelia kebersihan di madrasah berkenaan.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel