SPRM tahan pegawai KDNKK, pengedar gas memasak

Logo SPRM 3

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Johor menahan tiga pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor semalam kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah dari seorang pengusaha dan pengedar gas memasak tanpa lesen.

Menurut sumber, kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 30 hingga 50 tahun, ditahan di pejabat mereka antara pukul 8 sehingga 10 pagi semalam.

Sementara itu, pengusaha tanpa lesen terbabit ditahan di rumahnya di Kulai, Johor kira-kira pukul 8.20 pagi.

Siasatan awal pasukan penyiasat mengesyaki wang rasuah yang diberikan oleh pengusaha gas tanpa lesen itu disyaki telah dimasukkan ke dalam akaun syarikat milik saudara salah seorang pegawai KPDNKK sebelum diagihkan ke pihak yang berkenaan.

Wang rasuah berkenaan disyaki dibayar kepada Pegawai KPDNKK sebagai "Wang Perlindungan" supaya tindakan tidak diambil ke atas pengusaha haram terbabit yang telah melakukan kesalahan di bawah Akta Bekalan 1961.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan atau mana-mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata suspek dijangka direman hari ini di Mahkamah Majistret Johor Bahru untuk membantu siasatan.

 

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel