Peniaga dinasihat kemuka Borang B sebelum 15 Julai

LHDN

Pembayar cukai individu yang mempunyai pendapatan daripada perniagaan dinasihatkan untuk mengemukakan Borang B Tahun Taksiran 2016 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebelum 15 Julai bagi mengelakkan penalti lewat hantar Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP).

LHDN dalam kenyataan hari ini menjelaskan menurut subseksyen 112(3) Akta Cukai Pendapatan 1967, kegagalan mengemukakan BNCP dalam tempoh yang dibenarkan boleh menyebabkan individu tersebut dikenakan penalti sehingga tiga kali ganda daripada amaun cukai yang ditaksirkan.

Menurut kenyataan itu, tarikh akhir mengemukakan borang tersebut ialah pada 30 Jun, namun LHDN memberi tambahan masa sehingga 15 Julai ini untuk pembayar cukai mengemukakan borang tersebut melalui kaedah e-filing.

“Ini bermakna mereka mempunyai kira-kira lima hari sahaja lagi untuk mengemukakan Borang B dan seterusnya menjelaskan semua bayaran cukai pendapatan Tahun Taksiran 2016 yang dikenakan,” menurut kenyataan itu.

Sehingga 30 Jun lepas, LHDN menerima sebanyak 336,382 Borang B Tahun Taksiran 2016 berbanding hanya 334,572 dalam tempoh sama tahun lepas, sekali gus menunjukkan peningkatan penerimaan borang tersebut sebanyak 0.54 peratus.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel