Umno gelabah isu penyenaraian Edra, dakwa Rafizi

Serangan pimpinan Umno terhadap isu pembelian saham Edra Global Energy Berhad (Edra) membabitkan enam agensi dan syarikat milik kerajaan sepertimana dibangkitkan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli memperlihat Umno kini semakin tergugat.

Rafizi dalam kenyataan hari ini menyebut pimpinan Umno mula menggelabah mengenai isu penyenaraian Edra sehingga ramai menteri dan ahli parlimen Umno telah menyerang beliau, sedangkan ujarnya beliau hanya menimbulkan satu isu padanya adalah satu perkara biasa.

"Amaran supaya dana awam seperti KWSP, KWAP, Tabung Haji, Perkeso, PNB dan Khazanah Nasional tidak membeli saham-saham Edra yang kini ingin dijual oleh syarikat milik China itu adalah supaya rakyat Malaysia tidak menanggung hutang 1MDB buat kali kedua.

"Gelagat menteri-menteri Umno yang menggelabah itu memberi gambaran mereka sendiri tidak yakin saham-saham Edra akan dibeli sekiranya tabung-tabung awam tidak terlibat.

"Terbaru, saya membaca laporan bagaimana Menteri Kewangan Kedua dan Ahli Parlimen Setiawangsa dari Umno mengkritik saya atas desakan saya supaya dana awam tidak membeli saham-saham Edra," ujarnya.

Justeru katanya, jika benar saham-saham ini bernilai dan akan naik harganya di masa akan datang, kenapa syarikat China General Nuclear Power Corporation (CGNPC) yang memiliki Edra tidak menyenaraikannya di bursa-bursa lain yang mempunyai akses yang lebih baik kepada pelabur?

"Kalau betul ia benar-benar bernilai, bukankah lebih baik bekas syarikat 1MDB ini disenaraikan di New York, London, Hong Kong atau Singapura?

"Gelagat menteri-menteri Umno dan media Umno yang menyerang saya mengenai penyenaraian Edra sudah cukup meyakinkan saya tindakan memboikot penyenaraian Edra adalah betul, supaya kita tidak terbeban dengan satu lagi FGV atau 1MDB," terangnya.

Mulai hari ini, Rafizi sudah memulakan kempen di media sosial bagi tujuan mendapatkan seberapa ramai pencarum untuk menandatangi petisyen dan kajiselidik untuk menggesa dana-dana awam supaya tidak turut serta di dalam penyenaraian ini.

"Hasil dari petisyen dan kajiselidik ini akan disampaikan kepada pengurusan KWSP, KWAP, Tabung Haji dan dana awam yang lain untuk mengingatkan mereka amanah yang mereka pikul supaya mereka lebih takutkan suara rakyat daripada menuruti arahan-arahan dari Putrajaya yang mendatangkan risiko pelaburan kepada pencarum-pencarum.

"Kempen media sosial ini akan dilancarkan di laman-laman Facebook, Twitter, Instagram dan laman web biasa," ujar Ahli Parlimen Pandan ini.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel