Pas Terengganu mahu kembali wujudkan Kusza jika menang PRU-14

Pas Terengganu bercita-cita untuk mewujudkan semula institusi pengajian agama di negeri itu bagi menggantikan Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (Kusza) yang dibubarkan pada 2005.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan Pas Terengganu, Mohd Nor Hamzah dipetik berkata, walaupun Kusza dinaiktarafkan kepada Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), tetapi banyak hak rakyat negeri itu telah dinafikan.

Katanya, Pas negeri menjadikan cadangan itu sebagai sebahagian daripada manifesto parti pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Menurut Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payung, Pas antara parti pembangkang di Terengganu yang menyambut baik dengan usaha penubuhan Kusza pada 1980 dan memberi sokongan pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) ketika itu.

“Sebaik Pas mengambil alih Terengganu pada 1999, kita memperkasakan lagi sistem pendidikan Kusza sehingga ia menjadi sebuah institusi pendidikan Islam yang disegani di negara ini.

“Bagaimanapun, apabila Pas gagal mempertahankan kerajaan pada pilihan raya 2004, kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diketuai Umno telah membubarkan kewujudan kolej itu untuk diserahkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi yang kemudian menukarkan kepada Unisza,” katanya seperti dilapor MG.

Kata beliau, kerajaan BN ketika itu telah dijanjikan pampasan dari kerajaan pusat untuk mengambilalih tanah yang menempatkan Kusza seluas 140 ekar (41.6 hektar) dengan nilaian RM183 juta.

Tetapi menurutnya, kerajaan pusat hanya membayar RM10 juta, manakala bakinya sehingga kini belum dijelaskan.

“Mengenai jumlah pampasan pun boleh dipertikaikan, iaitu menurut pasaran sekarang tanah Kusza itu bernilai RM207 juta tidak termasuk bangunan dan aset kekal.

“Ini yang kita perjuangkan jika Pas berjaya mengambilalih Terengganu pada PRU-14 ini,” ujar beliau.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel