Ampun, bebas tahanan politik beri persepsi perundangan dipengaruhi politik

 


Usaha untuk membebaskan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mendapatkan pengampunan Yang Dipertuan Agong akan memberi persepsi bahawa proses perundangan negara dipengaruhi oleh proses politik, kata penganalisis.

Geostrategis Azmi Hassan berkata, apabila Pakatan Harapan menjanjikan Anwar dibebaskan persepsinya adalah kerajaan yang memerintah mempunyai pengaruh dan kuasa sama ada pengampunan atau menukar sabitan kesalahan.

" Satu persepsi yang tidak baik kerana mengambarkan politik mendahului proses keadilan negara.

"Bukan janji kosong (bebaskan Anwar) Pakatan Harapan tetapi boleh dilakukan melalui proses pengampunan YDPA. Inilah yang akan memberi persepsi bahawa proses perundangan negara dipengaruhi oleh proses politik," ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau diminta mengulas mengenai usaha pakatan Harapan sekiranya berjaya menumbangkan Umno-BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 telah menyenaraikan enam matlamat.

Dua daripada matlamat itu adalah membebaskan semua tahanan politik serta mengugurkan semua dakwaan politik dan; melakukan reformasi undang-undang terutama berhubung kuasa seorang perdana menteri dan menghadkan penggal perkhidmatan perdana menteri kepada dua penggal sahaja.

Matlamat ini diumumkan dalam kenyataan rasmi pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang dibacakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi Pakatan Harapan dilantik secara rasmi malam tadi.

Azmi hassan 2Malahan Azmi (Gambar kiri) berpandangan, tahap demokrasi Malaysia telah subur dan pembangunan berjalan lancar  oleh sebab itu ujarnya, had tempoh jawatan Perdana Menteri pada asasnya adalah cadangan yang tepat daripada Pakatan Harapan.

"Ini kerana lazimnya pemegang baharu akan bawa bersama idea yang baharu dan seterusnya besar kemungkinan akan beri manfaat kepada semua," terangnya.

Menurut Azmi lagi dengan pengumuman struktur kepimpinan utama Pakatan Harapan itu ia dilihat satu perkembangan yang menarik kerana ia dipersetujui secara konsensus tanpa ada bangkangan.

" Sebelum ini cadangan Tun M dilantik sebagai pengerusi kurang disenangi pemimpin sedia ada dalam pakatan kerana seperti dikhuatiri kehadiran Tun M dengan jawatan berpengaruh dalam pakatan sama ada mampu membawa Pakatan Harapan lebih kuat atau sebaliknya.

"Besar kemungkinan persetujuan konsensus diperolehi kerana wujud faktor kehadiran Datuk Seri Anwar dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dengan jawatan kritikal yang akan mengimbangi pengaruh Tun M.

"Keputusan terkini ini jelas mengambarkan bagaimana berpengaruhnya PPBM atau dengan kata lain aura Tun M masih berkesan. Interpretasi lain dengan barisan kepimpinan Pakatan Harapan hari ini adalah pengiktirafan DAP dan PKR bahawa faktor PPBM diperlukan untuk tumbangkan BN dalam PRU14," ujarnya.

Menyentuh mengenai logo Pakatan Harapan yang akan didaftarkan di Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS)selewatnya minggu hadapan, Azmi optimis mengatakan bahawa pemilihan logo tidak memberi kesan besar kepada pengundi.

"Pemilihan logo kemungkinan tidak akan beri kesan besar kepada pengundi kerana sebelum ini pengundi peka dengan maksud logo DAP, PKR atau Pas yang dulu mewakili Pakatan Rakyat. Manfaatnya dengan adanya logo Pakatan Harapan  itu kerana ia kini dapat menongkah tuduhan sebelum ini yang mengatakan bahawa kononnya gabungan empat parti itu  tidak boleh bekerjasama," ujarnya.

 

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel