Najib dinasihat secara berhemah agar undur, kata Amanah

 

Salahudin AyubSalahudin AyubParti Amanah Negara (Amanah) beranggapan kenyataan Majlis Raja-raja Melayu meminta isu 1MDB diselesaikan segera adalah satu nasihat agar perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berundur segera.

"Boleh diterjemahkan, lenggok bahasa, keluhuran budi, adat dan budaya bangsa Melayu dari kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu tersebut bertujuan menasihatkan Datuk Seri Najib Razak  berundur sebagai Perdana Menteri Malaysia kerana gagal menyelesaikan isu 1MDB dengan segera dan turut menjejaskan ekonomi negara," kata Timbalan presiden Amanah, Salahudin Ayub.

Bagi beliau, Amanah yakin teguran Majlis Raja-Raja Melayu yang bersidang baru-baru ini bertujuan memastikan pentadbiran Putrajaya menumpukan pembangunan negara, dalam masa yang sama memulihkan kembali ekonomi negara berikutan kejatuhan nilai mata wang.

Ini disebabkan skandal Syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih belum diselesaikan, kata beliau dalam satu kenyataannya.

Katanya, banyak pihak telah menyuarakan kebimbangan berhubung isu 1MDB ini termasuk masyarakat kampung, ahli Umno sendiri dan terkini, pegawai-pegawai tinggi kerajaan seperti Gabenor Bank Negara Tan Sri Datuk Ungku Dr Zeti Akhtar Ungku Abdul Aziz dan bekas Ketua Peguam Negara, Tan Sri Datuk Seri Panglima Abdul Gani Patail.

"Amanah merasakan ia adalah isyarat jelas bahawa Datuk Sri Najib perlu berundur dengan segera kerana beliau masih gagal membuktikan ketelusan dan keyakinan semua pihak termasuk Majlis Raja-Raja Melayu tentang isu 1MDB yang turut dikaitkan dengan peribadi beliau yang sehingga kini belum ‘dibersihkan’ lagi di mahkamah," katanya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: