Pas atur strategi menang di Sarawak

KOMPAS

Pas memperkenalkan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) dan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) kepada seluruh jentera pilihan raya Pas Sarawak bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ia diumumkan dalam konvensyen yang dinamakan ‘Kompas:Konvensyen Menuju Kemenangan Pas Sarawak’ anjuran Badan Perhubungan Negeri Sarawak yang berlangsung semalam hingga hari ini di Miri, Sarawak.

Nasruddin Hassan“Jarum Kompas harus menuju ke arah yang betul untuk memastikan kemenangan,” kata Ketua Penerangan Pas Pusat Nasruddin Hassan (gambar kanan) dalam slot Munaqasyah Ucapan Dasar Sejahtera Bersama Islam dalam konvensyen berkenaan.

Ahli parlimen Temerloh itu berkata, tujuh kriteria utama yang ditekankan dalam BPMS ialah politik dakwah amar makruf nahi mungkar, politik memfokuskan penyelesaian Islam, politik utamakan rakyat, politik bertunjangkan prinsip, politik damai dan diplomasi, politik kebenaran bukan persepsi serta politik rasional dan profesional.

Selain itu, katanya, terdapat 10 peraturan yang perlu diikuti petugas Pas Sarawak, antaranya semua ahli mesti meningkatkan ilmu kefahaman Islam dan memahami perkara prinsip dan dasar perjuangan parti.

Sehingga kini, belum lagi diketahui jumlah kerusi yang bakal ditandingi parti Islam itu daripada 31 kerusi Parlimen.

Pas belum lagi memenangi sebarang kerusi bagi pilihan raya negeri atau PRU di negeri Sarawak.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel