Arab Saudi tuduh Qatar 'isytihar perang'

Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir menyifatkan permintaan Qatar untuk mengantarabangsakan ibadat haji tidak ubah seperti pengisytiharan perang terhadap negara itu.

"Permintaan Qatar untuk mengantarabangsakan dua kota suci ini agak agresif dan seolah-olah pengisytiharan perang terhadap negara ini. Kami berhak bertindak balas terhadap usaha itu,"  lapor televisyen al-Araabiya seperti dipetik Reuters.

Bagaimanapun, tuduhan itu disangkal Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman al-Thani, yang menegaskan tiada pegawai negara itu mengemukakan permintaan sedemikian.

"Kami bosan menjawab kenyataan palsu dan cerita diadakan-adakan," kata Sheikh Mohammed kepada TV al-Jazeera.

Qatar menuduh Arab Saudi mempolitikkan ibadat haji dan melahirkan kebimbangan terhadap halangan yang perlu dihadapi rakyat Qatar mengerjakan haji tahun ini kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung kebebasan beragama.

Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir dan Bahrain sebelum ini mengemukakan senarai 13 tuntutan kepada Qatar termasuk menghentikan sokongan kepada gerakan Ikhwanul Muslim, menutup stesen televisyen al-Jazeera, menutup pangkalan tentera Turki dan mengurangkan hubungan dengan Iran.

Pada masa sama, menteri empat negara itu menyatakan kesediaan berdialog dengan Qatar jika negara itu menunjukkan minat terhadap tuntutan mereka.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel