Pegawai khas timbalan menteri buat kecoh di sidang media pemuda PH

Mohd Shahrizal Shamsudin

Pegawai khas kepada Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yakub mencetuskan kekecohan di majlis sidang media pemuda Pakatan Harapan di Machang pagi tadi.

Menurut Setiausaha Pemuda Amanah Kelantan, Mohd Syahidul Amri Khairuddin, beliau dan Ketua Armada Bersatu Kelantan dipukul oleh Mohd Shahrizal Shamsudin (gambar atas) sebaik selesai sidang media di perkarangan pejabat Majlis Daerah Machang.

"Kami sudah membuat laporan polis tentang insiden ini," katanya.

Sebelum itu Pemuda Pakatan Harapan (PH) Kelantan pada sidang media itu mempersoalkan pembinaan bangunan-bangunan untuk kegunaan awam yang didirikan di atas tanah milik keluarga Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan.

Armada Kelantan Asran AliasKetua Armada Bersatu Kelantan, Asran Alias (gambar kanan) yang mengadakan sidang media di perkarangan Majlis Daerah Machang pagi tadi berkata pihak pemuda PH telah menyemak status tanah Lot 3946 & 985, Mukim Bakar melalui satu cabutan bertarikh 12 Julai 2017.

"Hasilnya kami mendapati terdapat beberapa bangunan untuk kegunaan awam didirikan di atas lot lot berkenaan.

"Pemilik kepada tanah tersebut adalah (Datin) Wan Norizan binti Wan Ismail yang dikenal pasti isteri kepada Datuk Ahmad Jazlan," katanya.

Menurutnya setelah disiasat didapati pembinaan bangunan tersebut adalah tidak sah dari segi undang-undang.

"Pihak tuan tanah tidak mematuhi dua akta besar iaitu Seksyen 19 Akta Perancang Bandar & Desa 1976 iaitu semua pembangunan yang dijalankan dalam satu kawasan perlu mendapat Kebenaran & kelulusan daripada PBT.

"Juga dilanggar Seksyen 70 Akta Jalan Parit & Bangunan 1974 yang memperuntukkan bahawa sesiapapun tidak dibenarkan mendirikan bangunan tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran bertulis daripada PBT.

"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku di atas tanah yang dimiliki oleh isteri kepada seorang Timbalan Menteri, tambahan ia adalah untuk kegunaan awam," katanya.

Lebih mengejutkan katanya terdapat sumber yang menyatakan ia dibina melalui Dana awam Kerajaan persekutuan.

"Kami mendesak pihak tuan tanah menyatakan sumber dana untuk membina bangunan-bangunan tersebut.

"Juga dipersoalkan sejauh manakah jaminan bangunan ini boleh digunakan oleh masyarakat umum sekiranya ia dibina dengan dana awam," katanya.

Beliau turut menyatakan desas-desus bahawa pihak tuan tanah berhasrat untuk mewakafkan tanah tersebut.

"Pihak kami sedia membantu mewakafkannya melalui saluran yang betul iaitu Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Kelantan dan juga kerajaan tempatan.

"Pihak tuan tanah seharusnya telus dalam isu ini supaya tidak terpalit dengan isu penyalahgunaan kuasa," katanya.

Melalui pendedahan ini katanya, pemuda PH mendesak pihak berkuasa tempatan melalui Majlis Daerah Machang dan Pejabat Tanah & Jajahan Machang, pihak bomba dan yang berkaitan menjalankan segera kerja-kerja penguatkuasaan terhadap perkara ini.

"Pihak kami tidak menghalang pembinaan mana-mana bangunan yang hendak dibina tetapi mestilah mematuhi akta yang diluluskan di parlimen terutama apabila ia melibatkan bangunan untuk kegunaan awam demi keselamatan mereka," katanya.

Turut hadir pada sidang media itu adalah Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan dan jawatankuasa pemuda PH Kelantan.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel