Pulau Pinang negeri contoh perangi rasuah habis-habisan

Ikrar Bebas Rasuah Plus 10 Pulau Pinang

Tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dan tambahan 10 langkah integriti menjadi penanda aras baharu kepada sebuah kerajaan yang bebas rasuah.

Setiausaha Agung AMANAH Mohd Anuar Tahir (gambar kanan) berkata, ia sekali gus memberi imej bahawa di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan, peluang rakyat untuk menikmati sebuah kerajaan yang bersih dan progresif tidak lagi mustahil malah boleh dirasai sekarang.

Anuar Tahir"Ini membuktikan dengan wujudnya "political will" atau iltizam politik, tindakan ke atas mereka yang menyeleweng atau merompak khazanah negara dan rakyat akan berjaya dibendung dengan cermat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumaat lalu, Ketua Menteri Lim Guan Eng mengetuai majlis bacaan ikrar dan menandatangani IBR serta 10 langkah integriti dan disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad.

Ia sebagai tanda komitmen kerajaan negeri dalam memerangi gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Langkah integriti yang disertakan kerajaan negeri Pulau Pinang dalam ikrar itu termasuk amalan pentadbiran yang berlandaskan prinsip CAT (cekap, akauntabiliti, telus); menginstitusikan pengisytiharan harta secara terbuka oleh ketua menteri, barisan Exco dan Anggota Dewan Undangan Negeri; melaksanakan tender terbuka yang kompetitif; tidak membenarkan anggota keluarga untuk melibatkan diri dalam kontrak kerajaan atau berurus niaga dengan kerajaan negeri; melarang Adun dan anggota pentadbiran daripada diluluskan permohonan tanah kerajaan negeri dan tidak menerima sumbangan peribadi.

Justeru, Anuar berkata, beliau yakin kerajaan Pakatan Harapan yang bakal dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan benar-benar serius memastikan amanah dalam pentadbiran sentiasa dijunjung.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel