Rafizi sedia kumpul maklumat kekayaan Najib untuk SPRM

Rafizi Ramli

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli menawarkan diri untuk mengumpul maklumat mengenai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat penjawat awam yang hidup mewah melampaui pendapatan mereka.

“Saya sendiri akan mengambil tanggungjawab untuk mula mengumpul bukti-bukti kekayaan dan gaya hidup yang terlampau mewah yang telah dipamerkan oleh Najib dan keluarga beliau.

“Ini lebih mudah kerana banyak siasatan telah dibuat berhubung dana 1MDB oleh pelbagai pihak berkuasa di dunia dan maklumat-maklumat ini boleh digunakan sebagai bukti bagaimana Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarganya menjalani kehidupan yang terlampau mewah yang tidak padan dengan pendapatan beliau sebagai penjawat awam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Naib Presiden PKR itu berkata demikian sebagai menyahut gesaan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Mohd Azam Baki agar orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penjawat awam yang hidup mewah melampau melaporkan perkara itu kepada mereka dengan segera.

Azam berkata, penjawat awam yang hidup mewah sedemikian lazimnya terlibat salah guna kuasa dan rasuah serta mempunyai jawatan tertentu dalam kerajaan.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) sudah memfailkan dua saman sitaan terhadap aset bernilai AS$1.8 bilion (RM7.7 bilion) yang didakwa dibeli dengan dana yang dicuri dari 1MDB.

Saman itu merupakan tindakan undang-undang terbesar yang dilakukan dibawah Inisiatif Pengambilan Semula Aset Kleptokrasi.

Saman pertama difailkan pada Julai tahun lepas manakala saman kedua difailkan pada Jun tahun ini, di mana seorang individu yang digelar sebagai “Malaysian Official 1” disebut dalam kedua-dua saman itu.

Najib secara konsisten menafikan sebarang salah laku, dan tahun lalu Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali membersihkan nama perdana menteri daripada sebarang salah laku berkaitan 1MDB.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel