ECRL: Pemuda Umno Pahang sangkal dakwaan Perkasa

Ketua Pemuda Umno Pahang Shahar Abdullah menyangkal dakwaan Perkasa yang majlis pecah tanah Projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) semalam, telah menghilangkan identiti negara.

"Pemuda Umno Pahang menyangkal dakwaan Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali bahawa majlis pecah tanah ECRL yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tidak memegang prinsip kenegaraan, tidak patriotisme dan bersifat Pro-China.

"Untuk pengetahuan Syed Hassan, bahasa Melayu digunakan dalam ucapan perdana menteri dan pengerusi MRL tetapi memandangkan budaya kita sebagai orang Islam menghormati tetamu, itu sebabnya kita ada menggunakan khidmat penterjemah bahasa (untuk mereka yang berbahasa Cina)," katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Semalam, Syed Hassan dilaporkan berkata Perkasa sangat kecewa identiti negara hilang dalam majlis tersebut di mana kelihatan bendera sepanjang jalan dalam bahasa Mandarin dan satu bendera Malaysia pun tidak ada.

Bagaimanapun, Shahar berkata terdapat bendera Jalur Gemilang dipasang di atas pentas utama dan bacaan doa juga sepenuhnya dalam bahasa Melayu.

Menurutnya lagi, persembahan pentas menunjukan identiti budaya Malaysia, di mana penyambut tetamu juga berpakaian kebaya.

"Saya yakin sekiranya saudara Syed Hassan hadir pada majlis itu, beliau akan melihat semua yang diperkatakan ini.

"Identiti Malaysia tidak akan hilang dengan adanya ECRL, melainkan orang kita sendiri yang tidak menanam sifat cintakan negara dan hanya tahu menjadi pengkritik di belakang papan kekunci menyebarkan berita yang salah," tegas Shahar.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel