SPRM dan LHDN tidak nampak 'gajah di depan mata'

Raja Bahrin Shah

Segala bentuk rasuah dan salah guna kuasa patut disiasat oleh semua pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memastikan tidak ada penyelewengan berlaku di apa jua peringkat.

Ali Parlimen Kuala Terengganu Raja Bahrin Shah dalam tulisannya berkata, ia mesti dilakukan secara adil dan saksama tanpa memilih bulu dan secara menyeluruh.

"Keadilan bukan hanya mesti dilaksanakan tetapi mesti juga kelihatan dilaksanakan. Itulah asas keadilan sebenarnya yang juga dituntut oleh Islam," ujarnya,

Beliau menyingkap akan serbuan oleh LHDN, keatas salah satu pejabat syarikat Datuk Mokhzani Mahathir yang pernah menjadi berita panas diatas sebab-sebab yang tidak menyenangkan dan mencurigakan.

"Adakah ianya siasatan secara menyeluruh ke atas keluarga anak beranak bekas Perdana Menteri dan Menteri-menteri Kabinet?Jika ianya benar kenapa hanya Mokhzani yang disasarkan oleh LHDN serta kerajaan dan tidak Khairy Jamaluddin (menantu Pak Lah) yang menguasai beberapa syarikat-syarikat tertentu sejak dahulu lagi semasa Pak Lah menjadi Perdana Menteri?

"Lebih menghairankan lagi kenapa tidak juga Rizal Aziz anak tiri Najib yang namanya tersohor diseluruh dunia antarabangsa dengan penglibatan beliau bersama Jho Loh dalam skandal 1MDB dan pembelian hartanah mewah?

"Rizal amat muda untuk memiliki begitu banyak kekayaan berbandingkan dengan peniaga veteran lain yang sudah lama didunia koporat. Adakah kerana Khairy adalah Menteri Kabinet dan Rizal Aziz adalah dari dalam kumpulan keluarga yang masih berkuasa maka mereka memiliki kekebalan tertentu dimata pihak berkuasa? Kenapa memilih bulu dan sasar hanya dari keluarga yang sudah tidak lagi berkuasa?," soalnya kepada SPRM.

Raja Bahrin juga menyentuh mengenai LHDN adakah agensi itu menyahut gesaan terbuka dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi,Menteri Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz dan ahli-ahli Umno lain untuk menyiasat keluarga Dr Mahathir.

"Adakah ianya suatu kebetulan sahaja atau adakah LHDN dan SPRM menerima tekanan dari Umno seperti di katakan oleh orang ramai - menerima arahan dengan sahutan "saya yang menurut perintah".

"Adakah kebetulan juga dua orang lagi anak Tun Mahathir iaitu Mirzan Mahathir dan juga Mukhriz Mahathir juga disiasat?

"Persoalan lagi kenapa selepas berpuluh tahun Datuk Mokhzani berniaga baru sekarang tindakan diambil? Adakah kerana Tun Mahathir bersuara tentang rasuah dan kleptokrasi kerajaan Najib tindakan diambil keatas ahli keluarganya?" soalnya lagi.

Justeru katanya lagi, LHDN dan SPRM mempunyai pengetahuan luas berakiatan urusan kerja harian keluarga Najib dan juga keluarga Pak Lah melalui kaitan sumber Putrajaya berbanding dengan keluarga Tun Mahathir yang sudah lagi tidak berkuasa atau berpengaruh.

"Berita skandal 1MDB melibatkan Rizal Aziz tersebar luas serata dunia dan juga di Putrajaya . Adakah LHDN di saran kerajaan mengambil sikap seperti peribahasa " Gajah didepan mata tidak nampak tetapi kuman diseberang lautan jelas kelihatan oleh mereka!"

"Bukankah kerana kehilangan wang negara disebabkan angkara keluarga "gajah didepan mata" ini lah LHDN terpaksa mengambil tindakan undang-undang orang yang sudah pun mati untuk mengutip hasil cukai pendapatan yang amat diperlukan oleh Negara hari ini ?

"Gajah besar didepan mata kita ini yang tidak kelihatan oleh pihak berkuasa kerajaan bagaimanapun boleh dilihat terang dan jelas oleh DOJ dari Amerika Syarikat, Kerajaan Abu Dhabi, Switzerland, Singapura dan juga Peranchis dari seberang lautan yang luas.

"Bagaimana ianya tidak kelihatan oleh kita sendiri adalah disebabkan keruntuhan nilai dan moral yang amat kronik. Sehingga kita membuka mata hati kita terhadap kerosakkan moral dan rompakan kewangan oleh gajah di depan mata kita, selama itulah kita akan terus kekal menjadi Juara Kleptokrasi Dunia Tanpa Tanding!

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel