Bekas Setiausaha Agung DAP meninggal dunia akibat barah

Guan Eng ketika menziarahi Kim Hock yang terlantar uzur di hospital.

Bekas Setiausaha Agung DAP Kerk Kim Hock meninggal dunia akibat barah malam tadi setelah 15 tahun menghidap penyakit itu.

Menurut anaknya Kerk Chee Yee, Kim Hock berada dalam keadaan koma selama tiga hari ekoran pendarahan dalaman di bahagian otak selepas beberapa jam menjalani pembedahan Ahad lalu.

Bekas ahli parlimen Kota Melaka dan Pasir Pinji itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.10 petang semalam di hadapan isteri dan dua anaknya.

Dalam perkembangan berkaitan, setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan  Kim Hock sebagai insan yang sangat berprinsip, tegas dan setia kepada parti.

"Namun di sebalik ketegasannya, sikap keterbukaan dan kebijaksanaan menjadikan Kerk seorang yang mudah didekati dan tidak memiliki ramai musuh," kata Guan Eng dalam belasungkawa mengenang tokoh DAP itu.

Menurutnya, Kim Hock sangat setia kepada keluarga dan rakan-rakannya sebagaimana setianya beliau kepada DAP dan prinsipnya.

"Walaupun tegas dengan prinsip keadilan, demokrasi, kebebasan dan kejujuran, beliau mudah menjadi kawan dan tidak ramai musuh. Beliau ahli politik Malaysia yang jarang kita temui," katanya.

Kim Hock pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam Operasi Lalang 1987.

Pernah bertugas sebagai setiausaha politik kepada ketua parlimen DAP, Lim Kit Siang dan dipilih sebagai ahli dewan undangan negeri (Adun) Durian Daun dari 1986-1990.

Mendiang dipilih sebagai ahli parlimen Pasir Pinji (Ipoh Timor) pada 1990 dan 1999 serta ahli parlimen Kota Melaka dari 1999-2004 sebelum bersara dari politik.

Dalam tempoh 1999 hingga 2004, Kim Hock berkhidmat sebagai Setiausaha Agung DAP yang keempat.

Menurut Guan Eng, kualiti kepimpinan Kim Hock dapat dilihat jelas seawal menjadi penuntut di Universiti Monash, Australia sewaktu aktif dalam Persatuan Pelajar Malaysia Monash Universiti Monash (MUMSU).

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel