Singkir Mukhriz hanya agenda kemaruk kuasa - Amanah Kedah

Sulaiman IbrahimSulaiman IbrahimKrisis Umno Kedah yang membawa kepada penyingkiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar negeri itu hanyalah satu kemaruk kuasa yang dirancang demi kantung kroni, tegas Ketua Parti Amanah Negara Parlimen Sik, Sulaiman Ibrahim.

Beliau yang juga dikenali sebagai Leman Raja Lawan berkata, kemelut Umno yang berlarutan hampir dua minggu untuk menumbangkan anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu menyaksikan perebutan kuasa yang hasilnya akan diagih tanpa menghiraukan permasalahan rakyat bawahan.

“Krisis MB (Menteri Besar) Kedah melibatkan pengaruh kuasa peribadi tanpa menghiraukan rakyat bawahan. Pertukaran itu sama sekali tidak bermanfaat kerana rakyat kini sedang menghadapi kesukaran ekonomi dengan kos sara hidup yang tinggi.

“Rakyat bawahan terutamanya penduduk negeri Kedah sangat terhimpit dengan saraan hidup terutamanya mereka yang bergantung 100 peratus kepada industri dan pengeluaran getah beku di pedalaman daerah Sik, Baling dan Padang Terap,” jelasnya yang juga Pengarah Biro Tanah, Pertanian dan Luar Bandar Amanah Negeri Kedah.

Menurutnya, serangan dari kumpulan Umno yang menyokong agenda presiden parti itu, Datuk Seri Najib Razak menyebabkan pentadbiran di bawah Muhkriz terumbang-ambing menunggu tumbangnya kumpulan Mahathir.

Mengulas lanjut pergolakan Umno Kedah yang turut mengheret Jemaah Pemangku Sultan Kedah itu, beliau berkata pihaknya menyifatkan penyingkiran Mukhriz bukannya demi kepentingan rakyat sebaliknya tidak lebih bagi menjaga kelangsungan politik Najib.

“Parti Amanah Parlimen Sik mengambil kira semua aspek terutamanya rakyat harus terlebih dahulu diutamakan. Krisis yang dicetuskan ini adalah daripada permainan politik Najib sendiri demi kepentingan politik beliau dengan meluaskan pengaruh di peringkat akar umbi,” tambahnya lagi kepada Malaysia Dateline.

Najib tidak banyak pilihan

Sementara itu, Naib Pengerusi Amanah Negeri Kedah, Mustafa Yahaya berpendapat Najib sebenarnya menghadapi masalah untuk mencari pengganti Mukhriz memandangkan tiada individu berkelayakan dalam kumpulan penyokongnya.

“Najib tiada pengganti sesuai dan lebih berkaliber daripada Mukhriz. Jika ada pun kebanyakan mereka dikhuatiri anak didik Dr Mahathir,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Beliau turut menyifatkan banyak pembaziran akan berlaku sekiranya Dewan Undangan Negeri (Dun) dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihanraya negeri.

“Perbelanjaan bagi tujuan tersebut mencecah hampir RM200 juta atau empat kali ganda berbanding peruntukan tahunan pertanian negeri Kedah pada tahun lalu,” ujarnya lagi.

Dalam hal berkaitan, Jemaah Pemangku Sultan Kedah difahamkan telah membuat kesimpulan bahawa Mukhriz hilang sokongan majoriti selepas menemui 21 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN serta 15 pembangkang sejak 1 Februari lalu.

Sehubungan itu, Mukhriz dijangka akan mengadakan sidang media di Bilik Gerakan Negeri Wisma Darul Aman pada pukul 10 pagi ini.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: