Anwar persoal 'pelaburan' RM2.6 bilion

Anwar IbrahimAnwar IbrahimTeka-teki berhubung wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri turut menarik perhatian bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bingung dengan pendedahan terbaru bahawa wang yang diterima Datuk Seri Najib Razak itu bukanlah derma tetapi sebenarnya satu 'pelaburan', Anwar mempersoalkan pemaknaan (signifikasi) pendedahan itu.

"Apakah signifikasi pendedahan ini? Kini dikatakan sumber wang bukan sumbangan tapi "pelaburan" dari seorang warga...," ujar Anwar dalam twitternya yang tersebar di laman sosial.

Baru-baru ini media antarabangsa, New York Times (NYT) melaporkan pengakuan Menteri Luar Arab Saudi Adel al-Jubeir bahawa wang AS$681 juta yang dimasukkan ke akaun bank Najib bukan dari kerajaan negara itu atau satu sumbangan politik.

Beliau juga dilaporkan berkata, wang itu disalurkan kepada sebuah "pelaburan di Malaysia".

"It is a private Saudi citizen, I believe, and the funds went to an investment in Malaysia (Ia adalah warga Saudi, saya percaya, dan dana itu diberi kepada satu pelaburan di Malaysia)," katanya dalam satu temu bual dengan NYT.

Akhbar yang berpangkalan di New York itu turut memetik kenyataan seorang kerabat diraja Saudi yang tidak mahu dikenali, bahawa wang itu datang daripada seorang putera Saudi, tetapi ia bukan derma.

Kerabat itu turut mempersoalkan jumlah wang tersebut tetapi berkata dana itu merupakan sebahagian daripada perjanjian perniagaan.

Bulan lepas, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, AS$681 juta dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib sebagai derma dari keluarga diraja Saudi serta diberikan “tanpa mengharapkan balasan” dan menutup kes itu.

Tetapi, pihak berkuasa di Switzerland yang menyiasat cabang pelaburan negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menemui sejumlah AS$4 bilion (RM16.8 bilion) hilang daripada syarikat negara milik negara.

Peguam Negara Switzerland Michael Lauber juga menyuarakan kebimbangan atas keputusan rakan sejawatnya di Malaysia yang menghentikan siasatan ke atas kes perpindahan dana ke dalam akaun Najib itu, mengatakan tindakan itu akan mengganggu siasatan yang dijalankan Switzerland ke atas 1MDB.

Apandi kemudiannya membalas kenyataan tersebut, mengatakan siasatan yang sedang dilakukan negara itu ke atas 1MDB adalah siasatan yang berasingan daripada kes derma RM2.6 bilion itu, lapor The Malaysian Insider.

Dalam satu temu bual eksklusif dengan Sinchew Daily yang disiarkan semalam, Apandi mendedahkan salah seorang putera Allahyarham Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud ialah orang yang menderma RM2.6 bilion kepada Najib.

Apandi bagaimanapun tidak mendedahkan identiti penderma itu.

Raja Arab itu, yang meninggal dunia pada Januari tahun lepas, mempunyai 9 orang putera dan 10 puteri.

"Kami tahu nama dia (penderma). Dia bukan arwah Raja Saudi tetapi anak raja itu. Dia masih hidup," ujar Apandi.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: