Rafizi saran Shahrir fokus perumahan Felda, bimbang malukan Najib lagi

Perumahan Felda membimbangkan dan boleh bawa satu lagi skandal, kata Rafizi.

Bimbang kalau-kalau projek perumahan Felda bakal mencetuskan satu lagi skandal besar yang memalukan Datuk Seri Najib Razak, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menggesa agar isu ini menjadi fokus kepada pengerusi Felda yang baru, Tan Sri Shahrir Samad.

Perumahan Felda membimbangkan dan boleh bawa satu lagi skandal, kata Rafizi.

Bimbang kalau-kalau projek perumahan Felda bakal mencetuskan satu lagi skandal besar yang memalukan Datuk Seri Najib Razak, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menggesa agar isu ini menjadi fokus kepada pengerusi Felda yang baru, Tan Sri Shahrir Samad.

"Saya percaya permasalahan perumahan Felda adalah antara krisis pertama yang perlu ditangani oleh Tan Sri Shahrir Samad yang baru mengambil alih tampuk kepimpinan Felda," kata Rafizi dalam kenyataannya itu.

Menurutnya, projek perumahan Felda yang dijadikan umpan politik oleh Najib selama ini kepada warga Felda berkemungkinan akan terus bermasalah.

Menurut Rafizi, beliau telah menyemak pelbagai kenyataan dan temuramah dengan Tan Sri Isa Samad yang dilaporkan secara meluas oleh pihak media yang memberi gambaran betapa tenatnya kedudukan projek perumahan Felda sekarang:

1. Keratan akhbar bertarikh 16 Ogos 2016 bertajuk “Sebanyak 8,400 unit rumah generasi kedua Felda siap tahun hadapan” yang dipetik dari Bernama. Tan Sri Isa Samad mengaku bahawa Felda ketika itu sedang berusaha untuk mendapatkan pinjaman bank sebanyak RM2 bilion bagi membiayai projek ini, tetapi menghadapi kesukaran kerana bank yang dirundingi sebelum itu telah mengurangkan pinjaman.

2. Keratan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 4 Oktober 2016 bertajuk “11,400 unit PGBF mula dibina awal tahun depan”. Sekali lagi Tan Sri Isa Samad mengesahkan Felda telah menggunakan sehingga RM400 juta tetapi memerlukan RM1 bilion lagi bagi tujuan perumahan warga Felda.

3. Keratan berita dari Bernama bertarikh 6 September 2016 bertajuk “Perumahan Felda Dijangka Bermula Dalam Tempoh Sehingga Dua Bulan Lagi”. Berita ini melaporkan bagaimana Felda telah menandatangani satu perjanjian pendanaan swasta bagi projek yang jumlah pembangunan kasarnya adalah RM1 bilion, dengan sebuah syarikat dari Singapura bernama Putra Star Investment Holdings Pte Ltd.

Berita ini, katanya, berlalu begitu sahaja tanpa menimbulkan sebarang kontroversi.

Akibatnya, orang ramai terutamanya peneroka Felda dan generasi baru Felda tidak tahu bahawa rumah-rumah yang dijanjikan kepada mereka itu bergantung kepada pembiayaan dari sebuah syarikat Singapura yang tidak diketahui asal usulnya.

Bukan sahaja persoalan projek perumahan rakyat mengambil wang sebuah syarikat asing itu sudah cukup kontroversi kerana ia seolah-olah warga Felda berhutang dengan syarikat asing di atas rumah yang mereka miliki, malah syarikat yang dipilih itu juga menimbulkan tanda tanya, katanya.

Rafizi menyertakan maklumat dari kerajaan Singapura mengenai latar belakang Putra Star Investment Holdings Pte Ltd yang mendapat projek itu.

Ia sebuah syarikat yang ditubuhkan sebagai sebuah syarikat perdagangan biasa dan bukannya syarikat kewangan (mungkin ia tidak ada lesen kewangan pun untuk memberikan pinjaman kepada Felda), katanya.

Modalnya pula hanyalah USD1 juta, sedangkan ia akan membiayai projek berjumlah lebih RM1 bilion iaitu lebih 200 kali ganda dari modalnya.

Ia dimiliki oleh tiga orang yang tidak dikenali iaitu 1 orang warga Singapura (Ng Peter Titan) dan 2 orang warga Malaysia (Theresa Ng dan Charissa Ng).

"Saya percaya mereka ada pertalian darah," katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu Tan Sri Shahrir Samad menjelaskan apakah kriteria yang digunakan untuk melantik syarikat ini?

"Dari mana syarikat ini akan mendapat dana lebih RM1 bilion yang hendak dipinjamkan kepada Felda? Apakah syarat-syarat yang telah ditandatangani oleh Felda bagi pihak peneroka?" soalnya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: