Amanah Sabah ingatkan pengundi semak status daftar pemilih

Amanah Sabah membantu kempen daftar pemilih anjuran Bersih 2.0 di Pasar Malam Kim Fung, Sandakan

Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memindah kawasan mengundi para pemilih bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) tanpa pengetahuan mereka.

"Daerah Sandakan tidak terlepas daripada kecelaruan sistem daftar pemilih. Daripada keseluruhan penempatan pengundi-pengundi yang telah lama di dalam rekod SPR dan NGO Bersih, terdapat kes di mana begitu ramai para pengundi yang telah dipindahkan tempat mengundi mereka," kata Timbalan Pengerusi Amanah Sabah Alias Sani.

Bersih 2 membantu orang ramai di Sandakan mendaftar sebagai pengundi Beliau berkata demikian sewaktu membantu kempen daftar pemilih anjuran Bersih 2.0 di Pasar Malam Kim Fung, Sandakan.

Justeru katanya, pengundi di Sandakan perlu mengambil inisiatif sendiri seperti menyemak status daftar pemilih di mana-mana kaunter daftar pemilih yang disediakan SPR atau pergi ke kaunter di Pejabat Pos Malaysia.

Dalam ucapan yang sama, Alias turut menegaskan anak muda Sandakan perlu mengambil peluang mendaftar sebagai pengundi dalam pilihan raya.

"Warganegara yang berumur 21 tahun dan ke atas diberikan hak untuk memilih dalam perlembagaan, ianya perlu diraih dan diambil peluang oleh para belia kita.

"Saya yakin para belia mahukan pemimpin-pemimpin muda yang kompeten untuk warga Sandakan supaya Sandakan boleh maju seperti bandar-bandar lain di Sabah", ujarnya sambil disambut dengan tepukan gemuruh daripada pengunjung pasar malam Kim Fung.

Sementara itu, beliau turut menggesa warga Sandakan agar bijak memilih parti yang bakal memerintah selepas PRU14.

"Warga Sandakan perlu mendaftar sebagai pemilih, supaya dengan undian kita, boleh mendesak kerajaan meningkatkan BR1M kerana BR1M tidak cukup. Tetapi kalau warga memerlukan satu kerajaan baru atau pemimpin baru, kita boleh, seperti mana dijamin Perlembagaan Malaysia, memilih pemimpin yang lain. Ini negara demokrasi", katanya.

Bersih Sabah kini dalam rangka mengadakan jelajah ke seluruh Sabah bagi mempromosikan bulan Mac sebagai bulan daftar pemilih.

 

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel