• Kolumnis AMANAH 1Kolumnis AMANAH 1

Tanpa sokongan segelintir Pas, PKR tetap menang di Permatang Pauh sebelum ini

Sebelum ini segelintir pemimpin Pas Permatang Pauh buat demo bantah Wan Azizah tetapi menang juga, kata Rafizi.Sebelum ini segelintir pemimpin Pas Permatang Pauh buat demo bantah Wan Azizah tetapi menang juga, kata Rafizi.


Tanpa sokongan segelintir penyokong Pas sebelum inipun, calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail tetap menang dalam pilihan raya kecil lalu di Permatang Pauh 2015 lalu, kata naib presidennya, Rafizi Ramli.

Menurut Rafizi, beliau mengambil maklum usul yang diluluskan di mesyuarat agung tahunan Pas Kawasan Permatang Pauh semalam untuk memutuskan kerjasama dengan PKR di Permatang Pauh.

"Sementara saya menghormati keputusan itu yang dibuat oleh perwakilan Pas Permatang Pauh, saya juga menghargai sokongan ribuan lagi ahli Pas di Permatang Pauh yang telah sebati dengan perjuangan bersama sejak tahun 1998 lagi," kata Rafizi.

Bagi pihak PKR, beliau merakamkan rasa terhutang budi kepada ahli-ahli Pas biasa seperti ini dan "kami akan terus mengukuhkan semangat persahabatan yang telah dibina sekian lama."

Bagi beliau, keputusan untuk tidak membantu PKR di dalam pilihanraya pernah berlaku sebelum ini pun semasa kempen Pilihanraya Kecil Permatang Pauh dalam tahun 2015 lalu.

"Malah, ada segelintir ahli Pas yang menunjuk perasaan membantah KEADILAN semasa kempen itu tetapi ia tidak melunturkan semangat kerjasama di antara ahli biasa KEADILAN dan ahli biasa Pas di bawah.

"Akhirnya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kembali menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh pada margin yang sama dengan kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tahun 2013," katanya.

Oleh yang demikian, kata Rafizi, beliau memohon supaya ahli-ahli PKR terus mendekati rakyat dan membela rakyat biasa di Permatang Pauh.

Beliau yakin prinsip membela rakyat seperti ini yang telah dizahirkan oleh Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah sekian lama telah memenangi hati rakyat Permatang Pauh, walaupun pelbagai gelora politik melanda sejak 1999 kerana Umno sangat menginginkan kerusi Parlimen Permatang Pauh itu.

"Pada kala rakyat seluruh negara dibebankan dengan pelbagai masalah harian, adalah menjadi keutamaan kita untuk meletakkan kepentingan rakyat mengatasi pertimbangan politik kepartian," katanya.

Oleh itu, beliau memohon supaya PKR Permatang Pauh khususnya dan PKR di seluruh negara amnya untuk memperbanyakkan lagi program-program yang membela rakyat dan tidak terlalu memberi perhatian kepada pelbagai polemik politik kepartian yang mengalihkan tumpuan dari membela rakyat.

"Saya juga memohon supaya anggota KEADILAN di Permatang Pauh dan seluruh negara terus berjiwa besar menghulurkan persahabatan kepada semua pihak yang ikhlas mahu membawa perubahan yang membela rakyat.

"Saya yakin rakyat akan terus menilai keikhlasan kita dalam membela mereka," katanya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel