Pemuda Amanah ingatkan rakyat pilih pemimpin yang tidak jual agama

Hazmi Hassan

Rakyat terutama di Terengganu perlu memilih parti yang membela dan bersama dengan kepentingan mereka bukan sekadar memperalatkan agama, tegas Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hassan.

"Janganlah pilih mana-mana tok wakil yang hanya muncul ketika menjelang pilihan raya. Jangan memilih mana-mana pemimpin yang menjual agama, menggunakan sultan untuk kepentingan diri.

"Tapi bila bercakap tidak mencerminkan sifat orang Islam yang sebenar. Orang Islam bila berkata-kata seperti mutiara yang keluar bukan cacian dan makian," bidasnya pada Gempur Pemuda Amanah Nasional Zon Timur di Pasar Paka, Terengganu kelmarin.

Yakin dengan kebijaksanaan rakyat di negeri itu memilih parti yang menjiwai denyut nadi rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), beliau memberitahu pentingnya sifat peduli politik supaya penipuan pemerintah tidak berulang.

"Saya dari Kelantan turun ini atas dasar solidariti mempromosikan Parti Amanah Negara di Terengganu. Parti Amanah walau baru ditubuhkan tetapi berdiri sama tinggi dengan parti-parti lain. Kami muncul pada hari ini bukannya kebetulan tapi untuk membawa aspirasi rakyat mengalahkan Umno.

"Kalau kita tidak cakna politik, PRU13 dulu dia sudah tipu kita, kalau kita terus tak ambil peduli pada politik, penipuan akan berulang.

"Namun, di saat Umno menzalimi rakyat, ada parti lain jadi penyelamat. Ini masa untuk kita buat perubahan tetapi ada satu parti yang menghalang untuk kita menjatuhkan Umno," tegasnya.

Mengulas satu projek di Terengganu dengan kos RM800 juta yang terbengkalai sejak tahun 2014, beliau menyifatkan jumlah dana sebanyak itu boleh dimanfaatkan kepada setiap rakyat di negeri itu jika ekonomi diurus secara berhemah.

"Sampai sekarang (projek itu) tak siap. Kalau RM800 juta beri pada rakyat Terengganu, tiada yang miskin di negeri ini.

"Hasil mahsul tinggi, kalau ekonomi diurus dengan baik, Terengganu sama kaya dengan Brunei tapi parti Umno di Terengganu dan satu lagi (Pas) tidak menjadi pembangkang yang baik," selarnya.

Sehubungan itu, Hazmi menyeru golongan muda yang masih belum mendaftar sebagai pemilih untuk berbuat demikian sebelum 31 Mac ini kerana semua orang boleh melakukan perubahan lebih baik dengan menjadi pengundi.

"Cepat-cepat mendaftar. Suruh kawan-kawan cepat daftar kerana pilihan raya akan berlangsung tidak lama lagi. Adakah kita masih mahu mengekalkan kerajaan yang mahu kuasa atau membela rakyat?

"Balik (rumah), kaji parti mana yang membela rakyat. Pastikan Umno dan parti yang satu lagi (Pas) sebagai pembangkang," tegasnya.

Hazmi turut menyifatkan Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad sebagai pemimpin yang berdedikasi memperjuangkan hak dan keadilan buat rakyat di negeri itu.

"Beliau (Raja Kamarul Bahrin) betul-betul mahu membela rakyat walaupun sudah selesa di kerusi ampuh. Beliau masuk politik bukan nak cari balak, bijih tetapi mahu membela rakyat

"Waraskan otak kita. Jangan memilih pada pilihan raya kerana ikut-ikutan. Belajar, cari maklumat. Sekarang ini maklumat di hujung jari, langit terbuka. Tanya sahabat, tanya anak-anak," tambahnya lagi.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel