Rafizi bakal 'pukul' dalang di sebalik syarikat permit teksi

Rafizi Ramli dan Abdullah Sani meneliti memorandum pemandu teksi yang ditindas pihak syarikat

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli memberi tempoh sebulan lagi untuk membongkar 'orang politik' yang menjadi dalang di sebalik syarikat permit teksi yang selama ini menindas golongan pemandu pengangkutan awam itu.

Bercakap di hadapan sekumpulan pemandu teksi yang berdemonstrasi di jalan masuk Parlimen hari ini, beliau berkata, tempoh masa berkenaan perlu bagi mengumpul segala bukti berkaitan.

"Saya pasti orang yang memegang syarikat permit ini adalah orang politik yang berkepentingan. Ada orang (politik) di belakang nama pemilik rasmi syarikat yang berdaftar di SMM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia).

"Saya minta (tempoh) sebulan untuk saya mula 'pukul' habis sebaik-baiknya. Saya perlu semak betul-betul secara keseluruhan cari bukti menteri, ahli parlimen atau ahli politik mana yang pegang permit teksi ini.

"Selama ini kita mengalami kesukaran untuk menghubungkan pemilik syarikat dengan orang politik di belakangnya. Selepas ini jika ada bukti yang cukup, kita boleh tunjukkan (siapa) pemilik syarikat yang dapat untung banyak," tegasnya.

Lebih 300 pemandu teksi berhimpun pagi ini dengan membawa plakad antaranya tertera, "Najib Tepati Janjimu", "Mata Pencarian Terjejas, Takut Balik Rumah" serta "Dipijak Oleh SPAD & Kerajaan Umno BN".

Protes terhadap pihak kerajaan anjuran Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang itu dilihat menghimpunkan pemandu teksi berbilang kaum.

Mengulas lanjut, Rafizi yang juga Naib Presiden PKR berpendapat kerajaan sebelum ini tidak mempedulikan rintihan pemandu teksi yang ditindas pemilik syarikat kerana tidak kena batang hidung sendiri.

"Kalau ada bukti permit-permit teksi ini dimiliki bangsawan besar yang menghambakan pemandu teksi hingga terpaksa membayar (sewa) setiap hari, saya yakin baru mereka mahu bercakap.

"Selagi tidak kena batang hidung, selagi itu mereka buat tidak tahu," bidasnya yang juga ditemani Ketua Whip Parlimen PKR, Datuk Johari Abdul dan Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid.

Sewa harian lebih teruk daripada pinjam ceti

Menurut Rafizi, situasi terhimpit yang dihadapi pemandu teksi yang tidak berpermit sendiri sehingga terpaksa membayar sewa harian kepada pihak syarikat tidak ubah seperti satu perhambaan.

"Ramai pemandu teksi menghadapi kekangan untuk membayar sewa harian yang lebih teruk daripada berhutang daripada cheti.

"Saya juga telah melihat rakyat yang mencuba nasib menjadi pemandu Grabcar. Sebenarnya, rakyat ditipu. Sama ada pemandu teksi atau yang naik Grabcar dan Uber, yang untung adalah syarikat.

"Yang kena perah, kena bayar minyak, penyelenggaraan adalah rakyat biasa. Pemandu masih dalam keadaan sama. Beberapa kerat (yang kaya) perah rakyat yang miskin," katanya.

Pemandu teksi termasuk dari luar Lembah Klang berhimpun di perkarangan Parlimen hari ini

Tidak berubah 

Rafizi turut menyifatkan pemandu teksi sebenarnya boleh membeli mana-mana kereta yang dikehendaki asalkan mematuhi peraturan dan syarat-syarat sedia ada.

"Pendirian Pakatan Harapan tidak berubah. Kalau menang (PRU14), kita memang akan hapuskan syarikat permit teksi," tegas Rafizi lagi.

Turut memberi jaminan sama, Abdullah Sani dengan memastikan isu pemandu teksi menjadi antara agenda utama jika berlaku perubahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

"Kami berjanji perjuangan tidak terhenti di sini dan kita mahu pastikan pemandu teksi tidak teraniaya oleh korporat dan kerajaan yang tidak memikirkan hak dan kebajikan pemandu teksi.

"Ini termasuk memberikan terus permit kepada mereka dan tidak ada orang ketiga. Saya yakin dengan perubahan ini akan memberikan keselesaan kepada semua pihak terutama keluarga pemandu teksi," tambahnya lagi.

Sementara itu, beberapa pemandu teksi yang ditemui Malaysia Dateline memberitahu seorang Ahli Majlis Tertinggi Umno yang juga menteri dalam Kabinet Najib sekian lama membolot permit teksi sekaligus menindas mereka selama ini.

Semakan turut mendapati terdapat kes individu memiliki 6,000 permit teksi melalui 19 syarikat serta pada masa sama membabitkan seorang pegawai agensi kerajaan yang didakwa menyeleweng dalam urusan pengeluaran permit teksi.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel