Tetap harga siling,dedah data kiraan harga mingguan

Banner pam minyak

Mohd Sany HamzanPemuda Amanah Nasional menggesa kerajaan menetapkan harga siling petroleum dan mengamalkan ketelusan dengan mendedahkan data-data penting yang digunakan dalam pengiraan harga jualan runcit setiap minggu.

Ketua Pemuda Mohd Sany Hamzan berkata,komitmen terhadap harga siling ini perlu ditanggung oleh subsidi, yang ditampung oleh pendapatan luar jangka yang telah diraih oleh kerajaan.

Pada masa kerajaan juga perlu mengamalkan ketelusan dengan mendedahkan data-data penting dalam pengiraan harga jualan runcit bagi minyak RON95, RON97 dan Diesel setiap minggu.

" Ketelusan ini diharap selain dapat mendidik rakyat tentang perkembangan semasa, boleh menambahkan akauntabiliti ke atas kerajaan untuk menguruskan harta negara dengan penuh berintegriti dan adil, tanpa didorong oleh agenda politik kepartian terutamanya pada masa sekarang ini.


"Pemuda Amanah mengambil serius rentetan kenaikan harga petroleum selepas pelaksanaan penetapan harga jualan runcit secara mingguan. Biarpun kenaikannya tidak berapa kelihatan iaitu secara nilai yang sedikit tetapi ia tetap terbeban apabila saban minggu berlakunya peningkatan," ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sany juga berkata, kenaikan harga minyak ini sangat memberi kesan langsung kepada kos barangan dan perkhidmatan yang mana ia menjadi pemula kepada rantaian kenaikan. Kenaikan harga bahan bakar itu ditambah lagi peningkatan harga barangan dan perkhidmatan ternyata memberi bebanan berganda kepada rakyat yang telah pun terhimpit dengan 'jerutan' cukai GST.

"Dalam keadaan ekonomi yang ada hari ini, harga minyak mentah dunia dilihat menunjukkan trend meningkat, dan harga jualan runcit minyak akan turut naik sama berdasarkan kaedah apungan terkawal.

"Tapi kita juga perlu faham bahawa pada masa yang sama, kenaikan harga minyak mentah ini turut menguntungkan pihak kerajaan. Bajet 2017 dirangka berdasarkan anggaran harga minyak mentah berada pada sekitar $45 setong, sedangkan harga minyak mentah dunia berada pada paras melebihi $50 setong sejak awal 2017 hingga sekarang.

"Peningkatan harga jualan runcit secara berterusan dari minggu ke minggu seolah-olah telah menjadi rutin kerajaan Barisan Nasional, tanpa merasakan ia adalah satu tindakan yang jelik hingga menyebabkan rakyat semakin terbeban dengan kos sara hidup yang terus meningkat," ujarnya.

Bebanan yang dihadapi oleh rakyat, katanya lagi, dibuktikan oleh kadar inflasi yang diumumkan telah mencecah 5.1% pada bulan Mac, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh 8 tahun. Oleh sebab kos bahan api merupakan komponen utama yang mempengaruhi kadar inflasi, maka kerajaan harus bertindak segera untuk mengawal kenaikan kadar inflasi dan mengelakkan rakyat daripada terus hidup melarat.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: