Kos ECRL terlalu tinggi, SPAD digesa dedah kos setiap 7 segmen landasan

Perdana Menteri ketika melancarkan pemeriksaan awam projek ECRL.

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) digesa mendedahkan pecahan kos bagi setiap segmen dan aliran cawangan dalam projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Gesaan itu dibuat Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming selepas menyemak Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) untuk projek yang menelan belanja RM55 bilion itu.

“Ia (pendedahan pecahan kos) akan meningkatkan lagi ketelusan (kerajaan dalam) perbelanjaan projek ini,” katanya yang juga Penolong Setiausaha DAP Selangor pada sidang media di Ibu Pejabat SPAD di sini, hari ini, lapor Roketkini.

ECRL merupakan projek membabitkan pembinaan laluan sepanjang kira-kira 600 kilometer (km) yang akan menghubungkan Lembah Klang dengan Kuantan, Pahang sehingga ke Terengganu serta Tumpat di Kelantan yang terbahagi kepada tujuh segmen dan enam aliran cawangan.

Tujuh segmen itu adalah, Kelantan, Terengganu Utara (Besut ke Setiu ke Kuala Nerus ke Kuala Terengganu), Terengganu Selatan (Marang ke Dungun ke Kamaman), Pahang Timur (Kuantan ke Maran), Pahang Barat (Temerloh ke Bentong), Selangor Timur (Pahang ke Terminal Bersepadu Gombak, ITT Gombak) dan Selangor Barat (ITT Gombak ke Pelabuhan Klang).

Manakala enam aliran cawangan berkenaan adalah Bukit Besi, Kerteh, Kemaman, Pelabuhan Bandar Kuantan, Kuantan Sentral dan Mentakab.

Sementara itu, Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin, membangkitkan persoalan mengenai landasan tunggal ECRL berdasarkan laporan EIA berkenaan.

Menurutnya, kos bagi pembinaan landasan tunggal bagi projek berkenaan terlalu tinggi berbanding projek lain yang hampir serupa tetapi mempunyai landasan berkembar.

Sebagai contoh, katanya, Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (EDTP) sepanjang 191km memerlukan kos hanya RM8.9 bilion iaitu bersamaan RM46 juta per kilometer.

“Ia separuh daripada kos landasan tunggal ECRL (mengikut kiraan per kilometer).

“Ia umpama kita bayar untuk (harga) nasi goreng ayam, tapi dapat nasi goreng sahaja tanpa ayam,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Selangor.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel