'Poster boy' Najib perlu jawab isu terkini, usah sibuk hal tahun 2050

Khairy JamaluddinKhairy Jamaluddin

Kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak dinasihatkan agar tidak ghairah bercakap tentang isu-isu yang berlaku dalam tahun 2050 tanpa mempedulikan masalah-masalah dasar yang membebankan rakyat sekarang, tegas naib presiden PKR Rafizi Ramli.

Rafizi mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang dilapor sanggup menjelajah ke seluruh negara untuk mendengar sendiri aspirasi dan cita-cita rakyat bagi menggubal arah tuju negara menjelang 2050.

Malah Khairy yang juga ketua pemuda Umno dilapor mengkritik pendekatan penggubalan Wawasan 2020 yang katanya tidak memberi peluang kepada rakyat untuk memberi pandangan.

"Saya mengalu-alukan mana-mana pimpinan atau ahli politik yang ingin mendengar sendiri pendapat rakyat. Cuma saya bimbang bila jumlah peruntukan yang besar digunakan atas alasan mendengar pendapat rakyat; sedangkan penyelesaian yang dituntut rakyat sudah pun jelas dan perlu diselesaikan segera," ujar Rafizi.

Beliau seterusnya memberikan contoh perkara-perkara yang perlu ditangani kerajaan BN dan jawapan segera daripada Khairy yang juga peneraju kempen Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Kerajaan pimpinan Najib ujarnya perlu menjelas isu kebanjiran pekerja asing sehinggakan jumlah pekerja asing sudah melebihi jumlah rakyat Malaysia berbangsa India dan dijangka mengatasi jumlah rakyat Malaysia berbangsa Cina menjelang 2034.

"Apa pendirian Khairy mengenai perkara ini dan apa penyelesaian beliau?" soalnya.

Beliau turut menyentuh kadar kenaikan gaji rakyat Malaysia yang rendah iaitu pada purata sekitar 2% sahaja dalam dua tahun kebelakangan ini (setelah ditolak inflasi), malah pekerja Malaysia hanya mendapat 34% dari nilai ekonomi yang dijana (yang dipulangkan sebagai gaji) berbanding pekerja di negara-negara lain yang mendapat pulangan gaji yang jauh lebih tinggi.

"Kenaikan harga yang terus meningkat akibat dasar-dasar BN sendiri seperti pelaksanaan GST, penghapusan subsidi dan pengapungan harga minyak mengikut pasaran tanpa subsidi. Apa pendirian Khairy mengenai perkara ini dan apa penyelesaian beliau?" soal Rafizi.

Menurut ahli parlimen Pandan itu lagi, sebagai orang kepercayaan Najib, Khairy tidak boleh hanya sekadar menjadi 'poster boy' semata-mata dengan bercakap isu-isu yang berlaku dalam tahun 2050 tanpa menjawab sedikit pun isu yang membebankan rakyat kini.

"Berlakunya peristiwa melempang di sesi bertemu Perdana Menteri TN50 baru-baru ini sepatutnya memberi isyarat kepada Khairy, sebagai juara sesi bertemu pemimpin dalam kempen TN50 ini, bahawa penganjuran sesi-sesi tertutup sebegini adalah terpisah dari realiti kehidupan sebenar rakyat," ujarnya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel