Selepas insiden melempang, Mat Over makin popular

Papan iklan yang dipasang menguar-uarkan program santai bersama Mat Over sempena sambutan Hari Belia di Hulu Terengganu.

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu... Peribahasa Melayu ini sesuai untuk menggambarkan 'tuah' yang diperolehi Mat Over atau Sulaiman Yassin.

Setelah menjadi popular kerana menampar Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth Picture (MIG) Datuk David Teo ketika sesi Dialog Tranformasi Nasional 2050 (TN50) bersama Perdana Menteri di Putrajaya malam kelmarin, Mat Over kini menjadi selebriti hangat terutama bagi para penyokong BN.

Pelawak dan pelakon asal Terengganu ini dijemput ke majlis bual bicara 'Santai Bersama Mat Over' sempena sambutan Hari Belia Negara.

Program yang dijadual berlangsung pada 20 Mei jam 2 petang itu diadakan di Padang Bola Sepak Kuala Menjing, Hulu Terengganu.

Ia dianjurkan Majlis Belia Terengganu.

Dalam insiden malam kelmarin, David Teo ditampar Sulaiman ketika sesi Dialog Tranformasi Nasional 2050 (TN50) bersama Najib yang dihadiri ratusan artis.

Teoh tidak berpuas hati kerana pemudahcara majlis Datuk Rosyam Nor didakwa tidak bersikap adil kerana hanya memberi peluang kepada hadirin yang duduk di sudut tertentu untuk berdialog.

Beliau enggan berhenti bercakap walaupun diarahkan Rosyam hingga Sulaiman tiba-tiba meluru ke arahnya dan menampar pengarah filem tersebut.

Mereka kemudian dileraikan anggota polis dan hadirin.

Najib kemudian mengarahkan David dan Teoh bersalaman namun pertelingkahan antara kedua mereka berlanjutan di media.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel