Semakan rang daftar pemilih tambahan sukar kesan pengundi hantu

SPR

Semakan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) Suku Pertama tahun ini berdepan kesukaran ekoran tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak lagi memberi salinan digital seperti RDPT Suku Tahunan Keempat 2016.

Mohd Azam MektarNaib Ketua Pemuda Amanah Johor, Mohd Azam Mektar memberitahu, semakan pada RDPT pada akhir tahun lalu mudah untuk mengenal pasti kesahihan nama pemilih baharu serta alamat yang dipamerkan bukan alamat palsu.

"Semakan RDPT lepas di Dun Permas mendapati seramai 18 pengundi berdaftar berkongsi alamat Pejabat Menteri Besar Johor.

"Dengan dibekalkan CD, bila kita lihat alamat yang sama didapati didiami sejumlah nama yang dilihat seolah-olah tidak mempunyai kaitan di rumah yang didiami Menteri Besar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu penjelasan ringkas mengenai proses semakan RDPT dengan menjadikan N49 Nusa Jaya yang mempunyai 27 pusat mengundi sebagai contoh.

Rakaman video penerangan Azam itu dimuat naik di Youtube dengan tajuk, "Copy of CD file Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) membantu".

Mengulas lanjut, Azam memberitahu senarai RDPT dalam format Excel yang diserahkan SPR sebelum ini memudahkan kerja-kerja semakan termasuk jumlah pemilih yang meragukan apabila berkongsi alamat yang sama.

"Tapi dengan salinan buku yang diberi cukup menyusahkan dalam tempoh dua minggu untuk semakan dan bantahan (mulai 9 Mei lalu).

"Ini tidak adil kepada kami. Pentingnya SPR memberi salinan CD kepada kami," tambah Azam lagi di Pejabat Amanah Gelang Patah.

Antara keutamaan dalam proses semakan termasuk umur pemilih atau pengundi tua yang dipindahkan serta nama-nama pelik pemilih baru.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel