SPRM sita AP bauksit: Saranan saya tepat, kata MP

Fuziah Salleh bauksit 2

Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh berkata, tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita keseluruhan simpanan stok bauksit lebih 10 juta tan metrik bagi membantu siasatan berhubung isu perlombongan haram membuktikan apa yang disarankan beliau selama ini benar.

Fuziah berkata kenyataan beliau pada 30 Jun lalu menyebut, cara terbaik untuk menguruskan isu perlombongan bauksit haram adalah dengan membekukan permit eksport khas (AP).

“Semalam SPRM menyita 10 juta metrik ton simpanan bauksit.

“Jumlah yang teramat banyak bukti kerakusan manusia dan kegagalan penguatkuasaan agensi-agensi terlibat. Ia juga menyerlahkan sifat ketamakan pihak pelombong haram dalam membuat keuntungan tanpa mengambil kira kerosakan kepada alam sekitar dan kesan kepada kesihatan awam,” katanay dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, penyitaan itu dibuat bagi menghalang bahan tersebut daripada dibawa keluar dari tempat penyimpanannya untuk tujuan perniagaan atau tujuan lain.

Menurut Fuziah juga, pada 8 Ogos lalu apabila menteri sumber asli dan alam sekitar membuat kenyataan tentang jumlah eksport bauksit, maka amat jelas membuktikan berlaku perlombongan bauksit haram apabila jumlah simpanan di luar pelabuhan menjangkau 5.8 juta metrik ton sedangkan jumlah simpanan permulaan hanya 5.4 juta metrik tan.

“Saya juga telah beberapa kali sebelum itu menyarankan perkara yang sama iaitu bekukan permit eksport khas untuk membenarkan perlombongan haram tidak terus berlaku,” katanya yang juga Naib Presiden PKR.

Fuziah berkata, beliau tidak menentang industri perlombongan bauksit, namun segala bentuk aktiviti ekonomi mestilah lestari dan menjunjung prinsip dan kaedah menang-menang.

“Maksud menang-menang ialah apabila pelombong dapat untung, negeri juga dapat pulangan, rakyat dapat manfaat dan bukan dapat penyakit dan alam sekitar juga dipastikan tidak tercemar.”

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel