Skandal projek karbon sejuta ekar hutan Kelantan: Pemuda Amanah gesa jawab segera

 Hazmi Hassan

 Pemuda Amanah Kelantan menggesa kerajaan negeri itu mengemukakan penjelasan segera berhubung skandal Carbon Credit yang melibatkan penyerahan hampir sejuta ekar tanah hutan selama 30 tahun kepada Syarikat Climate Protector Sdn Bhd.

Ketuanya, Hazmi Hassan mempersoalkan pihak yang memperoleh keuntungan RM17 juta dalam perdagangan karbon itu yang tidak diiktiraf oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Menurutnya, sebanyak RM17 juta wang hasil pelaburan awam telah dikaut atas tujuan saham pelaburan tersebut dengan bersandarkan perjanjian antara syarikat itu dengan kerajaan Kelantan walaupun carbon credit bukan bahan komoditi.

"Ke mana wang itu pergi? Apakah kerajaan Kelantan sudah 'diperdagangkan' oleh syarikat tersebut bagi mengaburi mata orang awam dalam urusan pelaburan yang tidak diiktiraf ini?

"Kerajaan Kelantan wajib menjawab segera, apakah yang berlaku sebenarnya, jangan cuba berdolak dalih kerana ini melibatkan aset negeri seluas hampir satu juta ekar tanah hutan dan jualan saham awam mencecah RM17 juta," tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Lebih mengejutkan, jelas beliau, Bank Negara Malaysia telah menyenarai hitamkan syarikat Climate Protector Sdn Bhd apabila disyaki terbabit dalam skim penipuan matawang maya (Crypto Currency) melalui penggunaan EcoBit.

"Sekaligus menimbulkan kebimbangan, apakah kerajaan Kelantan bakal menjadi mangsa dalam skim penipuan matawang maya ini, apabila terlibat dalam perdagangan karbon yang diuruskan oleh syarikat tersebut," ujarnya.

Mengulas reaksi seorang pimpinan Pas berhubung skandal tersebut, Hazmi menganggap kenyataan individu berkenaan bukan atas kapasiti kepimpinan kerajaan negeri.

"Sehingga hari ini, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan daripada mana-mana pimpinan kerajaan Kelantan, seolah-olah tidak kisah untuk bersekongkol dengan penjenayah kolar putih ini, walaupun sudah diberi amaran baik dari pihak kementerian mahupun pihak Bank Negara Malaysia," katanya.

Sehubungan itu, Pemuda Amanah Kelantan, tegas beliau, menolak sekeras-kerasnya sebarang kerjasama antara kerajaan Kelantan dengan penjenayah kolar putih terbabit apatah lagi apabila melibatkan kepentingan awam iaitu tanah hutan negeri Kelantan seluas hampir satu juta ekar.

"Sekiranya kerajaan Kelantan masih bersikap membisu dalam hal ini, kami Pemuda Amanah Kelantan akan memobilisasikan himpunan amarah rakyat secara besar-besaran di hadapan SUK Kelantan, sehingga semua pihak yang terlibat dalam hal ini menjawab dengan segera," tegasnya.

Menurut Hazmi, skandal tersebut melibatkan maruah negeri dan rakyat Kelantan serta bakal mencemari rekod bersih pentadbiran kerajaan seperti ditunjukkan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang memisahkan sebarang urusan kerajaan dari unsur gharar dan riba.

"Apakah kerajaan Kelantan sudah menjadi Penjenayah Kopiah Putih apabila bekerjasama dengan penjenayah kolar putih ini sehingga sanggup 'mencagarkan' aset negeri Kelantan kepada sebuah syarikat yang telah disenarai hitam oleh BNM ini?" soalnya lagi.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: