Timbalan menteri ucap terima kasih Pas tarik balik artikel fitnah

Asyraf Wajdi

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki hari ini mengucapkan terima kasih kepada Pas kerana mengakui kesilapan pemimpinnya.

Beliau berkata, Pas secara tidak langsung mengakui kekhilafan dan kesilapan ahli jawatankuasa Pas Pusat Dr Riduan Mohd Nor dengan memadamkan artikel berunsur fitnah bertajuk 'RUU 164: Tragedi Malang Buat Umat Islam di Negara Ini'.

Beliau berharap perkara itu mejadi iktibar kepada semua pihak agar menyemak semua fakta sebelum menulis sesuatu isu.

"Moga jadi iktibar buat semua agar 'tabayyun' atau semak semua fakta sebelum menulis mahupun menularkannya takut-takut menjadi fitnah yang memudaratkan bahkan hanya menzahirkan kejahilan kita," katanya di Facebok.

Riduan baru-baru ini menarik semula artikel beliau selepas mendapat kecaman daripada pelbagai pihak dan mendakwa artikel yang turut disiarkan di Harakahdaily itu baru di peringkat draf.

Kelmarin, Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan pula tampil dengan kenyataan yang 'menawarkan cadangan penyelesaian'.

Ahli Parlimen Temerloh itu bagaimanapun memulakan kenyataannya berhubung Akta 164 dengan memuji kerajaan Umno-BN tetapi pada masa sama menyerang AMANAH dan DAP.

Beliau mendakwa kedua-dua komponen parti Pakatan Harapan itu menentang langkah untuk mengugurkan Fasal 88A yang berkaitan dengan penukaran status agama anak hanya boleh dilakukan selepas mencapai usia 18 tahun dan perlu mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel