Program Nothing To Hide kecoh, cubaan sabotaj

Sidang media dilakukan oleh Armada sejurus kejadian berlaku yang mana dapat mengumpulkan barang bukti terhadap provokasi dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab merosakkan program diadakan.

Program Nothing to Hide 2.0 yang berlangsung di Dewan Raja Muda Musa di Kompleks Belia dan Kebudayaan, Shah Alam petang ini diganggu sehingga memaksa ia ditamatkan segera.

Kejadian berlaku apabila salah seorang hadirin bertanyakan berkaitan isu Memali kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sejurus selepas Dr Mahathir menjawab pertanyaan tersebut terdengar pekikan yang tidak berpuas hati dengan jawapan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu..

Lantaran itu terdapat dalam kalangan hadirin yang membaling kerusi,selipar, botol air mineral dan bom asap dilontarkan ke arah pentas.

Manakala seorang suspek ditahan di luar kawasan dewan ketika melarikan diri dan di kejar Armada dalam kejadian yang berlaku.

Orang ramai panik lalu berlari keluar dewan dan merempuh sesama sendiri apabila bom asap yang sama dicampakkan ke arah kerusi media.

Berlaku pertempuran antara Armada dan suspek yang dipercayai melontarkan bom asap ke arah hadirin.

Manakala pergelutan turut berlaku antara Armada dan suspek yang berjaya ditangkap.

Difahamkan, dua suspek ditangkap polis dan dibawa ke IPD Shah Alam.

Sabotaj dirancang 

Sementara itu, Ketua Pemuda Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam sidang medianya berkata, bom asap dan beberapa benda lain dibaling ke arah Dr Mahathir oleh pihak tertentu untuk mencederakan beliau dan mensabotaj forum.

Beliau berkata, ia seperti telah dirancang awal dan pihaknya mengesan beberapa individu yang menyamar sebagai ahli Armada dengan memakai baju rasmi mereka.

"Daripada siasatan polis mereka ini mereka pakai baju Armada tetapi bukan secara rasmi dari Armada kerana sambil lari mereka tanggalkan baju Armada.

"Mereka memberikan baju percuma di kalangan pelajar yang diguna untuk mensabotaj program ini," katanya.

Justeru pihaknya akan membuat laporan polis dengan menyerahkan bahan bukti seperti rakaman video dan baju,kasut  yang ditinggalkan ketika kejadian berlaku.

Armada katanya sangat kecewa terhadap kejadian yang berlaku itu  kerana ia menggambarkan sikap samseng dan gengsterime bukan mengunakan peluang secara berhujah.

Syed Saddiq berkata, kejadian hari ini bagaimanapun tidak menghalang Armada untuk terus menganjurkan program sedemikian.

"Mewakili Armada dan Bersatu kami kecewa kerana kami mengemukakan hujah bukan budaya gengsterisme kerana dialog boleh wujud tenang tetapi elemen sabotaj ini merosakkan  dan harap polis ambil tindakan.

"Walaupun pihak tidak bertanggungjawab melakukan sedemikian untuk  menghalang,  kami akan teruskan majis begini dan Dr Mahathir bersedia pada bila-bila masa untuk memberikan penerangan.

"Kalau ada mana-mana ahli Armada dan Bersatu bersekongkol kami berharap polis akan menghukum ke atas mereka yang terbabit tidak kira mana-mana parti politik sekalipun," katanya.

 

 

 

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel