Harapan Bajet 2016 turunkan GST tidak kesampaian

Bajet 2016 dibentangkan PM

Harapan banyak pihak untuk melihat Bajet 2016 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menurunkan kadar Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) tidak kesampaian.

Walaupun kadar BR1M telah dinaikkan dari RM950 ke RM1,000 tetapi rakyat juga masih susah hati kerana bagi ramai yang berada dalam golongan miskin dan yang berpendapatan rendah, mereka tetap susah kerana kos sara hidup telah naik secara mendadak sejak kenaikan harga minyak dan harga tol dalam bulan Oktober ini.

"Adakah Belanjawan 2016 boleh menjamin bahawa saya dapat kerja dalam tahun ini?  Saya telah menganggur sejak hujung bulan Julai lalu," kata Joseph Yong, rakan penulis yang sebelum ini memperolehi pendapatan sebanyak RM1,600 sebulan sebagai pemandu van.

Beliau yang berusia 45 tahun memberitahu bahawa beliau telah mengharapkan kos sara hidup boleh diturunkan kalau kadar GST diturunkan daripada 6% ke 3%.  Tetapi hampa sekali, kadar Cukai tersebut tidak diturunkan langsung malah kerajaan berdegil juga dengan angka 6% ini.

Seorang pemilik kilang bernama Anthony Cheong pula berkata bahawa kos mengimpot bahan mentah sudah naik dengan banyak disebabkan oleh kelemahan nilai matawang ringgit tetapi isu ini tidak diberi jalan penyelesaian semasa pembentangan Belanjawan 2016.

Anthony berasa kecewa dengan kerajaan yang diam membisu perihal jalan penyelesaian untuk menyakinkan para pelabur asing supaya melabur semula di negara kita kerana setakat ini RM17 bilion telah dikeluarkan oleh pelabur asing.  Adakah angka ini akan mencecah RM20 bilion nanti?

Justeru itu, walaupun Cukai Barangan Dan Perkhidmatan telah dilaksanakan, Joseph dan Anthony kurang yakin kerajaan dapat menyelesaikan kemelut ekonomi yang melanda negara kita sekarang.

Selain dari itu, walaupun kerajaan boleh memperolehi RM27 bilion dari hasil kutipan Cukai Barangan Dan Perkhidmatan pada tahun ini, adalah susah untuk meramalkan angka kutipan untuk tahun hadapan kerana ada kilang-kilang perusahaan yang akan tutup pada hujung tahun ini.  Ada juga kilang yang besar yang telah tutup sebelum ini yang mengakibatkan ramai pekerja diberhentikan.

"Ada krisis keyakinan terhadap kerajaan ini tetapi mereka buat seolah-olah 'semuanya okay'.  Ini adalah tidak benar sama sekali.  Kalau anda pergi bersembang-bual dengan para usahawan, mereka akan memberitahu bahawa ekonomi negara ini sedang menghadapi masalah kerana sentimen pengguna kurang memberangsangkan dan rakyat terutamanya dari golongan miskin dan sederhana sedang berjimat-cermat.  Hanya orang kaya sahaja yang boros," ujar Anthony.

Joseph pula memberitahu bahawa adalah amat sukar mendapat kerja pada masa kini kerana banyak kilang tidak mengambil pekerja baru.  Ada pula kilang yang mengurangkan pekerja dan pekerja yang sudah bersara tidak pula diganti.

"Memang ekonomi negara kita sudah suram, sudah 'slow down', lah.  Kerajaan sahaja tidak mahu mengaku.  Tetapi inilah hakikatnya," ulas Joseph.

Beberapa orang pelanggan di kedai kopi Cina yang diwawancara untuk pendapat mereka mengenai Belanjawan 2016 turut serta rasa kecewa kerana bagi mereka tiada apa-apa langkah yang besar dan berkesan yang diumumkan oleh kerajaan untuk membantu pekerja sektor swasta dan golongan miskin untuk menangani masalah kos sara hidup yang tinggi.   Seperti masalah jerebu, tiada siapa yang tahu bila dan bagaimana masalah ekonomi akan diselesaikan. 

"Semuanya kabur sahaja," tambah Joseph.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: