Johor timbang tutup GLC Lemah Pengurusan

Peta JohorPeta Johor

Kerajaan negeri bersedia mempertimbang untuk menutup mana-mana anak syarikatnya yang lemah pengurusan ataupun menanggung hutang.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata namun, pihaknya juga akan membuat kajian mengenai kelemahan terbabit dan faktor yang menyebabkan sesebuah anak syarikat berkenaan menanggung hutang sebelum apa-apa keputusan atau tindakan dilaksanakan.

Beliau menjelaskan ada beberapa sebab mengapa sesebuah anak syarikat itu tidak membuat keuntungan ataupun menanggung hutang kerana ada yang sesetengah diwujudkan lebih kepada tujuan untuk menjalankan tanggungjawab sosial.

"Ada sesetengah syarikat kerajaan negeri yang bertanggungjawab untuk melaksanakan tanggungjawab sosial seperti menyediakan rumah atau rumah kedai dan sebagainya, yang tidak menawarkan jualan pada harga pasaran. Di situ ada elemen subsidi.

"Jadi, kalau ada syarikat yang tidak berjaya hanya kerana pengurusan yang lemah ataupun berkaitan, itu boleh ditimbang untuk mungkin ditutup. Tetapi, kalau memang sesuatu syarikat itu hanya menjalankan tanggungjawab sosial, maka, ada kewajaran untuk kita teruskan syarikat itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat Tabung Haji (TH) Pasir Gudang di Taman Bukit Dahlia, di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji Tan Sri Ismee Ismail dan Anggota Parlimen Pasir Gudang Normala Abdul Samad.

Mohamed Khaled berkata demikian sebagai mengulas titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang mengesyorkan mana-mana anak syarikat kerajaan negeri yang sudah tidak berupaya dan terus menanggung hutang agar segera ditutup daripada terus membazirkan duit rakyat.

Ketika bertitah merasmikan pembukaan penggal persidangan keempat Dewan Undangan Negeri Johor ke-13, dua hari lepas, Sultan Ibrahim turut berharap ada badan audit yang menjalankan pemeriksaan secara berjadual mengenai pengurusan dan kewangan semua anak syarikat kerajaan negeri bagi memastikan tadbir urus yang baik dan tiada penyelewengan berlaku.

Sementara itu, mengenai pembukaan pejabat TH terbabit, Ismee berkata ia sememangnya dinantikan oleh penduduk di kawasan Pasir Gudang bagi memudahkan urusan simpanan, pengeluaran, mengemaskini akaun, pendaftaran haji dan sebagainya.

Beliau berkata pejabat itu merupakan cawangan ke-123 TH di negara ini manakala cawangan ke-13 di negeri Johor.

Katanya, terdapat kira-kira sejuta pendeposit TH di negeri ini ketika ini dengan seramai 100,000 pendeposit adalah dari Pasir Gudang.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: